malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penerbangan pertama jemaah haji diganjak ke 4 Jun
ADS

Penerbangan pertama bagi jemaah haji Malaysia pada tahun ini dijangka pada 4 Jun ini berbanding perancangan awal pada 31 Mei berikutan pengurangan jumlah jemaah yang akan menunaikan Rukan Islam kelima itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata anjakan tarikh berkenaan juga dibuat berdasarkan rundingan dengan syarikat-syarikat penerbangan.

Katanya jika dahulu penerbangan yang melibatkan jemaah haji adalah berjumlah 80 tetapi ia telah berkurangan sehingga separuh tahun ini.

“Manakala bagi tahun-tahun sebelum ini jumlah jemaah haji adalah sekitar 30,000 orang, namun pada tahun ini jumlah jemaah hanya 14,000 orang saja.

“Baru sahaja tadi (hari ini) saya bertemu Ketua Pegawai Eksekutif (Tabung Haji) tanya macam mana penerbangan haji dan beliau menjawab kemungkinan akan diganjak kepada 4 Jun kerana dulu 80 penerbangan sekarang dah jadi separuh,” katanya kepada pemberita, di Muar hari ini.

Idris berkata demikian selepas merasmikan Ar-Rahnu Yapeim Akses dan Yapeim Gold Akses Muar di pekarangan Bangunan Mara Muar.

Pada masa sama, katanya, Malaysia juga masih menunggu keputusan kerajaan Arab Saudi berhubung rayuan kuota tambahan 5,000 jemaah bagi musim haji kali ini.

Sementara itu, berkenaan dengan Ar-Rahnu Yapiem yang melebarkan sayapnya ke Muar, Idris berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan cawangannya di seluruh negara kepada 213 buah.

“Selain itu, di Muar ini juga dibuka cawangan kesembilan Ar-Rahnu Yapeim Akses (Bergerak) dan juga cawangan kelima Yapeim Gold Akses yang menawarkan perkhidmatan skim mikro kredit, penjualan emas terpakai dan pembelian barang kemas dengan harga yang kompetitif,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen