malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Umno Selangor serah pucuk pimpinan tentukan status MN
ADS

Umno Selangor menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti itu dan juga PAS untuk membuat keputusan terbaik berhubung kedudukan kerjasama Muafakat Nasional (MN).

Pengerusi Umno Selangor Noh Omar berkata langkah itu dilihat sebagai tindakan terbaik kerana kedua-dua pihak mempunyai jawatankuasa kepimpinan masing-masing.

“Umno Selangor kalau boleh MN hidup seperti dahulu, itu amat dialu-alukan, bagaimanapun kita serah kepada kepimpinan kedua-dua parti untuk buat keputusan.

“Setiap parti ada jawatankuasa mereka, jadi kalau presiden kata ia (kerjasama MN) nyawa ikan bermakna masih hidup tetapi sama ada ia akan terus hidup atau sebaliknya, kita serah kepada kepimpinan,” katanya.

Noh berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pelan Strategik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (PS SKM 2021-2025), prapelancaran sambutan Hari Koperasi Negara dan Ramah Mesra Raya Gerakan Koperasi di Dewan Perdana Felda di Kuala Lumpur hari ini.

Ahli Parlimen Tanjung Karang itu diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini yang menegaskan MN jelas masih bernyawa dan tidak terkubur seperti dikata pelbagai pihak.

Ia susulan kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menyebut MN kini dalam fasa ‘nyawa-nyawa ikan’ baru-baru ini.

- Bernama

Lihat Komen