malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Takkan ada ayam Melayu, Cina - Ayam itu ayam, kata exco S'gor
Diterbitkan:  May 24, 2022 7:13 PM
Dikemaskini: 11:17 AM
ADS

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim menolak dakwaan terdapat unsur perkauman di sebalik kekurangan ayam semasa.

Izham berkata walaupun terdapat isu "big brother" atau syarikat besar yang wujud merentas industri dan membri kesan kepada perniagaan yang lebih kecil, namun tiada unsur perkauman dalam sebarang keputusan yang dibuat.

“Jangan bawa isu-isu perkauman [...] Takkan ada ayam Melayu, Cina. Ayam itu ayam.

"(Boleh ada) ayam halal atau tidak halal. Tak ada perkauman apa. Tiada isu apa pun. Jangan kita tambahkan suhu dengan perkara yang tidak perlu," katanya pada sidang media di pejabat pertanian daerah Gombak.

Izsham juga menegaskan bahawa kekurangan ayam semasa adalah disebabkan oleh isu-isu mengenai kos pengeluaran yang tidak dapat dipertahankan oleh penternak.

Sehubungan itu, Izham, berkata, kerajaan negeri Selangor melalui 67 kedai di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan akan menyediakan dana untuk menambah bekalan daripada 4,000 ekor sehari kepada 10,000 ekor ayam bermula 1 Jun.

Ini akan dilanjutkan sehingga sambutan Hari Raya Aidiladha bulan depan.

“Kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan bagi memastikan ayam tersedia dan dijual pada harga rendah serta diskaun.

“Ini adalah penyelesaian jangka pendek Fama dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor bagi menangani masalah kekurangan ayam,” katanya.

Menurut Izham, kerajaan negeri juga telah menggariskan rancangan jangka panjang untuk menangani isu itu termasuk isu baka ayam dan makanan haiwan ternakan.

“Kerajaan negeri akan mula menanam jagung (untuk makanan ayam) melalui perjanjian dengan kerajaan Negeri Sembilan untuk mengurangkan pergantungan kepada import asing.

“Penanaman jagung ini melibatkan 400 ekar di Negeri Sembilan dan 300 ekar di Kuala Langat sebagai projek perintis untuk dimulakan tidak lama lagi,” katanya.

Kerajaan persekutuan semalam mengumumkan menghentikan eksport bulanan Malaysia sebanyak 3.6 juta ekor ayam mulai 1 Jun untuk menangani kekurangan bekalan makanan.

Kabinet juga sebelum ini memutuskan untuk memansuhkan permit (AP) yang diluluskan untuk produk ayam, termasuk keseluruhan ayam dan bahagian ayam, bagi membolehkan pengimport mendapat lebih banyak bekalan.

Lihat Komen