malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Tambang mahal: Bukan salah kami, kata Grab
Diterbitkan:  May 24, 2022 3:51 PM
Dikemaskini: 8:05 AM
ADS

Pengendali syarikat kenderaan e-kelui, Grab Malaysia menafikan bahawa tindakannya membuat perubahan pada struktur tambang menjadikan harga perkhidmatan itu naik mencanak atau menjadi mahal.

“Grab mengguna pakai model harga dinamik yang memastikan penumpang mempunyai pengangkutan apabila memerlukannya dan rakan kongsi pemandu kami diberi pampasan sewajar dan adil untuk masa serta usaha mereka.

“Apabila bilangan orang menempah perjalanan tinggi berbanding bilangan pemandu yang ada di sesuatu kawasan, tambang akan ‘melambung’ atau naik untuk menggalakkan lebih ramai pemandu menuju ke tempat penumpang berada,” kata Grab dalam satu kenyataan.

Syarikat aplikasi di talian itu juga mengaitkan turun naik harga disebabkan pengurangan bilangan pemandu Grab yang mampu menampung peningkatan mendadak dalam permintaan perjalanan daripada penumpang.

Menurut Grab, pada pertengahan Mei tahun ini, bilangan rakan kongsi pemandu di platform itu masih kurang daripada 70 peratus berbanding seamsa sebelum pandemik Covid-19.

Syarikat itu mendakwa susulan kebimbangan daripada wabak tersebut, ramai rakan kongsi pemandu menjadi tidak aktif dan juga kerana kekurangan permintaan daripada penumpang semasa penularan berkenaan.

Mereka berkata, pelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ditambah dengan tempoh perayaan baru-baru ini turut menyaksikan peningkatan permintaan tempahan perjalanan di platform itu.

Grab mendakwa satu lagi faktor lain ialah halangan buat pemandu baru yang mahu menyertai menawarkan perkhidmatan melalui aplikasi berkenaan.

“Pemandu baharu dikehendaki memenuhi pelbagai syarat oleh pihak kawal selia, seperti latihan selama 6 jam, ujian di sekolah memandu, pemeriksaan kenderaan, pembelian insurans, dan mengumpul serta menyerahkan dokumen kepada pelbagai agensi kerajaan untuk diproses.

"Ini melambatkan rakan kongsi pemandu baharu yang boleh menyertai dan menawarkan perkhidmatan untuk mendapat manfaat mencari pendapatan tambahan yang telah dicipta untuk mereka," kata Grab.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siongdalam satu kenyataan media, hari ini berkata, penawaran dan permintaan yang tidak seimbang serta kesesakan lalu lintas tinggi, menjadikan masa perjalanan lebih lama merupakan antara faktor utama menyumbang kepada lonjakan tambang e-hailing selain menjejaskan kualiti perkhidmatannya.

Katanya, beberapa syarikat e-hailing juga telah menunjukkan penurunan bilangan pemandu berdaftar sebanyak 30 peratus berbanding sebelum Covid-19 melanda negara.

Wee berkata, kekurangan itu secara tidak langsung menyebabkan masa menunggu kenderaan di beberapa tempat menjadi lebih lama daripada jangkaan.

Dalam masa sama, katanya fasa peralihan ke endemik bermula 1 April lepas juga menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak terhadap permintaan perkhidmatan e-hailing dan dalam tempoh sama juga menyaksikan pergerakan bebas orang ramai bagi menjalankan aktiviti ekonomi dan kehidupan seharian secara normal, turut menyumbang kepada kesesakan lalu lintas berbanding peringkat awal wabak menular.

"Faktor-faktor ini telah mempengaruhi formula pengiraan tambang yang digunakan oleh pengendali e-hailing (EHO) merangkumi pelbagai faktor termasuk jarak perjalanan, aliran trafik, keadaan cuaca, serta penawaran dan permintaan pasaran.

“Ini semua mempengaruhi kenaikan tambang sejak kebelakangan ini," katanya.

Wee berkata dari segi peraturan struktur tambang pula, terdapat dua caj iaitu tambang asas dan surcaj serta menjelaskan kerajaan tidak mengawal tambang asas dan surcaj tidak boleh melebihi dua kali ganda daripada tambang asas, dengan mengambil kira kadar waktu puncak dan harga bahan api.

"EHO dibenarkan untuk menetapkan struktur tambang mereka berdasarkan formula sendiri dan syarat perkhidmatan mereka dengan pengguna dalam pasaran terbuka," katanya.

Wee berkata perbincangan antara Kementerian Pengangkutan (MOT), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan EHO baru-baru ini, EHO telah memberi jaminan kepada MOT untuk memperuntukkan lebih banyak sumber ke arah meningkatkan bilangan pemandu yang ada pada masa ini.

"Pada masa yang sama, kerajaan juga akan terus memastikan lebih banyak EHO bersama-sama perkhidmatan teksi dan bas tersedia untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna," katanya.

Wee berkata lebih 130,000 individu memegang lesen vokasional untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing dan angka ini dijangka bertambah apabila Institut Memandu dan EHO menerima lebih banyak calon untuk menjadi pemandu e-hailing bagi 21 EHO dengan lesen aktif di seluruh negara termasuk Lembah Klang.

Beliau berkata kerajaan menggesa semua EHO supaya meningkatkan saluran komunikasi mereka dengan pengguna dan kerajaan akan terus memantau industri e-hailing bagi memastikan keadilan dan mengelakkan beban yang tidak wajar kepada pengguna.

Lihat Komen