malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
JPA: Etika berpakaian selaras Rukun Negara, diamalkan negara lain
Diterbitkan:  May 24, 2022 8:26 AM
Dikemaskini: 7:19 AM
ADS

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempertahankan kod pemakaian yang ditetapkan kepada orang ramai ketika berurusan di jabatan kerajaan.

Dalam kenyataan semalam, JPA berkata ia selaras dengan prinsip Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan, serta turut diamalkan di banyak negara lain.

"Sesuai dengan budaya berbilang kaum di Malaysia, penetapan etika berpakaian ini bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan bersama, selaras dengan prinsip Rukun Negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan.

"Penampilan yang baik mencerminkan ketertiban dalam urusan rasmi kerajaan.

"Penetapan etika berpakaian ini juga turut dipraktikkan di jabatan kerajaan di Jepun, United Kingdom, Australia serta negara-negara Asean seperti Filipina dan Thailand," kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Shafiq Abdullah.

Shafiq berkata JPA melalui ketua-ketua jabatan akan terus memperkukuh program latihan kepada petugas kaunter di barisan depan berhubung etika berpakaian pelanggan.

Pada masa sama, dia juga menggalakkan orang ramai berurusan secara dalam talian melalui aplikasi dan portal yang disediakan.

"Ini secara tidak langsung dapat mempercepatkan akses terhadap perkhidmatan yang disediakan selain mengurangkan karenah birokrasi," katanya.

Katanya lagi, terdapat 389 platform perkhidmatan secara dalam talian yang telah dibangunkan melalui portal MyGovernment.

Lihat Komen