malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kerajaan henti eksport ayam mulai 1 Jun hingga bekalan stabil
Diterbitkan:  May 23, 2022 6:15 PM
Dikemaskini: 10:46 AM
ADS

Kerajaan hari ini memutuskan untuk menghentikan eksport bulanan Malaysia sebanyak 3.6 juta ekor ayam mulai 1 Jun ini bagi menangani kekurangan bekalan makanan semasa, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Keputusan itu dijangka menjejaskan bekalan ayam di Singapura. Menurut Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, republik itu merupakan pengimport terbesar ayam dari Malaysia

Dalam satu kenyataan, Ismail Sabri berkata Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat dakwaan bahawa terdapat kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar, dan berjanji tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati mensabotaj bekalan ayam.

Kerajaan juga akan memperkenalkan semula inisiatif yang dimulakan oleh Ismail Sabri pada tahun 2014 yang dipanggil 'Jihad Memerangi Orang Tengah', yang bertujuan mengurangkan peranan penjual semula yang dipercayai bertanggungjawab dalam memanipulasi harga dan bekalan barang dalam negara.

"Sebagai langkah jangka pendek, mesyuarat kabinet hari ini telah membuat beberapa ketetapan terhadap isu bekalan serta harga ayam pada masa ini seperti:

"Pertama, menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil," katanya dalam satu kenyataan media.

Perdana Menteri berkata, kabinet juga memutuskan untuk memansuhkan permit import (AP) bagi produk ayam, termasuk keseluruhan ayam dan bahagian ayam, bagi membolehkan pengimport mendapat lebih banyak bekalan.

Selain itu, kerajaan akan menambah bilangan kemudahan penyembelihan ayam yang diiktiraf di luar negara bagi meningkatkan aliran bekalan.

"Kerajaan sedar terdapat laporan bahawa wujud kartel yang mengawal harga

dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar.

"MyCC sedang menyiasat perkara ini dan siasatan dijangka selesai pada bulan Jun ini. Jika didapati wujud kesepakatan kartel tersebut, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

"Pada masa yang sama, kerajaan akan mengurangkan peranan orang tengah yang selama ini memanipulasi bekalan dan harga.

"Kerajaan akan memperkenalkan semula Jihad Memerangi Orang tengah yang telah saya. perkenalkan pada tahun 2014.

"Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diberikan peranan untuk mengetuai Jihad Memerangi Orang Tengah ini," kata Ismail Sabri.

Mesyuarat hari ini juga menyaksikan Peguam Negara menasihati Jemaah Menteri untuk menggunakan sepenuhnya Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap sebarang aktiviti menyorok bekalan atau sabotaj.

Perdana menteri berkata, mana-mana individu atau syarikat yang didapati melanggar undang-undang boleh diambil tindakan terhadap mereka dan lesen mereka dibatalkan.

"Kerajaan meminta Mafi dan KPNDHEP melakukan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (PeraturanPeraturan Kawalan Bekalan 1974)," katanya.

Lihat Komen