malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Najib tak pernah tegur saya kerana ikut arahan Jho Low'
Diterbitkan:  May 17, 2022 4:37 PM
Dikemaskini: 8:38 AM
ADS

Najib Razak tidak pernah mendedahkan kepada lembaga pengarah atau pengurusan 1MDB bahawa dia menerima berbilion ringgit wang milik dana kekayaan negara Malaysia itu,kata bekas ketua pegawai kewangannya (CFO).

Saksi pendakwaan ke-12, Azmi Tahir juga memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini bahawa bekas perdana menteri dan menteri kewangan itu juga tidak pernah menegurnya kerana mengikut arahan Low Taek Jho berhubung pemindahan kewangan daripada dana itu.

Azmi berkata demikian ketika menjawab soalan timbalan pendakwaraya, Gopal Sri Ram dalam sesi pemeriksaan semula ketika perbicaraan rasuah terhadap Najib yang didakwa menyelewengkan dana RM2.8 bilion 1MDB.

Sri Ram, menunjukkan kepada mahkamah beberapa transaksi perbankan melibatkan 1MDB dan beberapa entiti antarabangsa antara 2013 dan 2014, antaranya Granton Property Holding Limited, Tanore Finance dan Vista Equity Partners Limited (Barbados).

Granton, Tanore dan Vista Equity adalah tiga entiti yang didakwa dikawal oleh Eric Tan Kim Loong, yang dikatakan sekutu kepada dalang utama 1MDB, Low Taek Jho, yang kini menjadi buruan.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa melalui aliran kewangan yang berbelit-belit dan pengubahawan wang haram, berbilion ringgit dana 1MDB telah disedut daripada syarikat itu dan dimasukkan ke akaun bank Najib, dengan normbor akaun 680 dan 880.

Azmi ketika ditunjukkan pelbagai rekod bank oleh Sri Ram, bersetuju bahawa AS$681 juta dana 1MDB dimasukkan ke akaun bernombor 694 milik Najib antara 21 Mac dan 10 April 2013.

Saksi itu juga bersetuju dengan pendakwa raya bahawa lebih RM45 juta dana daripada 1MDB masuk ke akaun bernombor 880 milik Najib melalui lima bahagian antara 23 Okt dan 19 Dis 2014.

Sri Ram: Adakah dalam mana-mana pertemuan antara kamu dan dia (Najib) ketika dalam pengurusan (1MDB) atau dengan lembaga pengarah, adakah dia mendedahkan dia menerima wang ini?

Azmi: Tak pernah.

Ketika menjawab beberapa soalan Sri Ram, Azmi berkata dia tidak pernah menerima walau satu sen pun daripada 1MDB sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai CFO dari 2012 hingga 2017.

Saksi itu juga bersetuju dengan DPP bahawa Najib tidak pernah bersemuka dengannya kerana mematuhi arahan Low berhubung pemindahan dana daripada 1MDB.

Sri Ram: Adakah Najib pernah menegur anda kerana melakukan ini (ikut arahan Low)?

Azmi: Tak pernah.

Sebelum ini, Azmi memberi keterangan bahawa dia mengikut arahan Jho Low kerana percaya ahli perniagaan itu mewakili Najib.

Pasukan pembelaan Najib sebelum ini berhujah bahawa tertuduh tidak tahu mengenai salah laku dalam 1MDB, dan penyelewengan itu didalangi oleh Low dan anggota pengurusan lain, termasuk Azmi.

Sebaliknya, pihak pendakwaan mendakwa bahawa kesalahan dalam 1MDB dilakukan Jho Low dan di bawah kuasa Najib.

Prosiding di hadapan Sequerah diteruskan petang ini dengan pasukan pembelaan meneruskan pemeriksaan balas terhadap bekas setiausaha syarikat 1MDB Lim Poh Seng, yang merupakan saksi ke-18 pihak pendakwaan.

Perbicaraan itu juga dijadualkan berlansung esok hingga Khamis minggu ini.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Selain merupakan bekas perdana menteri dan menteri kewangan, Najib juga pernah menjadi pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Lihat Komen