malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP gesa tubuh unit terapi, kaunseling untuk doktor pelatih
Diterbitkan:  May 7, 2022 4:31 PM
Dikemaskini: 8:31 AM
ADS

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan unit terapi dan kaunseling bagi menangani tekanan jiwa di kalangan pegawai perubatan, termasuk doktor pelatih.

Ini susulan kematian seorang doktor pelatih yang disyaki membunuh diri pada 17 April lalu selepas ditugaskan selama dua minggu di Hospital Besar Pulau Pinang.

"Saya memuji langkah Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menubuhkan pasukan petugas bebas, bagi menyiasat laporan kematian doktor pelatih dan dakwaan budaya buli di fasiliti kerajaan, tetapi apa yang lebih penting adalah KKM haruslah memandang serius terhadap kesihatan mental di kalangan pegawai perubatan di hospital kerajaan.

"Pendedahan oleh para doktor pelatih di media sosial tentang beban kerja dan tekanan jiwa yang dihadapi oleh mereka semasa menjalani “housemanship” menunjukkan agak ramai di kalangan mereka mengalami tekanan jiwa dan malah kemurungan (depression).

"Pada masa yang sama, tingkah laku agresif atau sikap buli oleh sesetengah pegawai perubatan yang senior terhadap doktor pelatih di hospital juga menunjukkan golongan doktor senior ini mempunyai masalah sikap dan memerlukan bimbingan psikologi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, penubuhan unit kaunseling itu juga seiring dengan Pelan Strategik Kesihatan Mental Kebangsaan 2020-2025 yang dilancarkan oleh KKM.

Semalam Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata beliau telah menerima laporan awal kematian doktor pelatih berkenaan daripada ketua jabatan mendiang.

Pada 17 April lalu, doktor pelatih berkenaan dilaporkan maut selepas dipercayai terjun dari tingkat 23 sebuah pangsapuri, dua minggu selepas bertugas di Hospital Besar Pulau Pinang.

Buat masa ini, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai "kematian mengejut" dan laporan perubatan penuh masih belum dikeluarkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen