malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Nazri: Desak segerakan PRU15 ancam kestabilan
Diterbitkan:  May 4, 2022 6:13 PM
Dikemaskini: 10:14 AM
ADS

Kerajaan kini stabil dan jangan digugat dengan desakan menyegerakan pilihan raya umum tidak lama lagi, kata Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz.

Nazri berkata jika Umno cuba membubarkan parlimen sekarang, orang ramai akan menghukum parti itu kerana mewujudkan ketidakstabilan.

Katanya, parti itu perlu menyahut titah Yang di-Pertuan Agong supaya kerajaan stabil.

"Kita kena ingat, apapun, titah daripada Yang di-Pertuan Agong itu memang ada, mahukan kerajaan yang stabil, mahu negara stabil.

"Kalau kita langgar titah ini maka betullah anggapan orang, kita nak mengkucar-kacirkan keadaan yang sedang stabil sekarang, kenapa perlu kucar-kacir di waktu aman dan stabil, sekarang tidak ada apa-apa masalah.

"Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mentadbir dengan baik, tidak ada masalah.

“Saya lihat alasan yang diberikan itu spekulasi sahaja atau pun diada-adakan sahaja," katanya, lapor Astro Awani.

Gambar hiasan, PM Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Nazri juga dipetik berkata gesaan menyegerakan pilihan raya umum boleh dituduh sebagai usaha Umno untuk menjatuhkan perdana menteri daripada parti sendiri.

"Pemulihan ekonomi negara kita belum lagi selesai, baru nak steady. Jadi pada waktu ini kita mendesak supaya diadakan PRU nampaklah kita yang mengkucar-kacirkan.

"Lebih teruk lagi ialah kalau kita desak PRU15 dan jatuhkan kerajaan yang ada ini, kita menjatuhkan seorang perdana menteri yang datang daripada kalangan kita," jelasnya lagi.

Ismail Sabri - yang baru sembilan bulan menjadi perdana menteri - mendapat tekanan daripada partinya sendiri untuk mengadakan pilihan raya awal.

Majlis tertinggi Umno pada 11 April lalu menamakannya sebagai calon perdana menteri parti itu.

Umno juga cuba untuk menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti daripada diadakan pada akhir tahun ini, kepada tarikh enam bulan selepas pilihan raya umum diadakan.

Ini dilihat secara meluas sebagai cubaan untuk menghalang Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi daripada dicabar sebagai ketua parti.

Presiden Umno mempunyai budi bicara mutlak untuk memilih calon pilihan raya umum - sebelum PRU15.

Penggal kepimpinan semasa Umno sepatutnya tamat tempoh pada akhir tahun lalu.

Lihat Komen