ESEI FOTO | Jumaat 22 April lalu dunia menyambut Hari Bumi. Dalam pada itu, Malaysia dikejutkan dengan berita mendakwa Semenanjung Malaysia akan menyaksikan penebangan hutan sehingga 72,584.73ha, kira-kira saiz negara Singapura, dalam masa terdekat.
Kumpulan alam sekitar Rimba Disclosure Project (RDP) pula mendakwa hutan paling banyak ditebang adalah di Pahang (27,900ha).
(Gambar judul: Pemandangan pelangi di Jeram Perahu, Sungai Sepia, Ulu Tembeling selepas hujan.)
Kebimbangan muncul kerana Pahang memiliki rizab hutan yang terbesar di Semenanjung Malaysia dengan jumlah hutan simpan kekal seluas 1.6 juta hektar setakat ini.
Apalagi Taman Negara Pahang pula yang terbesar dengan keluasan 2,477 km persegi, diikuti oleh Taman Negara Kelantan seluas 1,043 km², dan Taman Negara Terengganu seluas 853 km².
Taman Negara yang terletak di sempadan Pahang, Terengganu dan Kelantan ditubuhkan bawah Enakmen Taman Negara (Pahang) No.2 pada 1939, Enakmen Taman Negara (Kelantan) No.14 pada 1938 dan Enakmen Taman Negara (Terengganu) No.6 pada 1939.
Asalnya, jurutera Inggeris, Theodore Hubback telah melobi sultan Pahang, Terengganu dan Kelantan untuk memperuntukkan tanah di hulu sempadan tiga negeri ini diwarta menjadi King George V National Park.
Selepas merdeka, ia diberi nama Taman Negara bawah seliaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).
Selain tarikan utama Gunung Tahan, titik tertinggi di Semenanjung Malaysia, Taman Negara menyajikan kompleks hutan tropika berusia 130 juta tahun dengan kekayaan biodiversiti flora dan fauna, serta ekosistem sungai yang tidak tercemar.
Mukim Ulu Tembeling yang bersempadan dengan Taman Negara juga merupakan petempatan tradisional antaranya perkampungan Melayu di Kg Pagi, Kg Kuala Sat, Kg Bantal, Kg Mat Daling dan Kg Gusai serta Kg Sungai Kucing (Orang Asli suku Semaq Beri). Penduduk di sini mempunyai hubungan yang unik dengan alam semulajadi.
Menurut sejarahnya, Sungai Sepia di Ulu Tembeling (gambar, bawah) antara laluan Theodore Hubback memburu seladang dan gajah sampai ke hutan Kenyir di Terengganu.

Ini sebelum Hubback pada usia tuanya di penghujung 1930an menyertai kempen pemuliharaan alam sekitar dengan terlibat menubuhkan Taman Negara.
Hubback menulis buku pengalamannya berburu dalam buku "Elephant and Seladang Hunting in the Federated Malay States," terbit di London, pada 1905.
Laluan sungai dan hutan di Ulu Tembeling ini juga antara denai pahlawan Pahang yang terkenal, Mat Kilau.
Menurut buku Sejarah Pahang (1972) karangan Haji Buyong Adil, terdapat kerajaan kuno di hulu negeri itu yang dikenali dengan nama Temberalinga, dikatakan telah wujud seawal abad pertama.










Merenung keindahan ekosistem Taman Negara yang dilindungi undang-undang, maka usaha pemuliharaan hutan rosot dan sungai serta persekitaran yang tercemar juga perlu dipergiatkan semua pihak.
Moga nanti kualiti alam keliling di manapun jua di Malaysia akan setanding Taman Negara, dengan udara segar, rimbunan hijau pohon-pohon, sungai jernih, habitat mampan dan tanpa pencemaran.