malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Syahredzan: SPRM jejas kehormatan Nazlan dengan umum siasatan
Diterbitkan:  Apr 25, 2022 5:47 PM
Dikemaskini: 9:47 AM
ADS

Ahli jawatankuasa eksekutif DAP Syahredzan Johan berkata SPRM menjejaskan kehormatan hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali apabila mengumumkan siasatan telah dimulakan terhadapnya.

Syahredzan berkata, pengumuman yang dibuat Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki itu juga telah memberikan peluru buat pihak yang tidak bersetuju dengan Nazlan untuk menyerangnya.

"Ketepikan isu jika ada mekanisme lain yang boleh digunakan, Azam tidak sepatutnya mengumumkan secara terbuka bahawa SPRM sedang menyiasat hakim Nazlan," katanya yang merupakan seorang peguam.

Katanya, Azam sepatutnya menunggu sehingga siasatan menunjukkan ada kes prima facie terhadp Nazlan sebelum mengesahkan siasatan tersebut.

"Ingat, hakim tiada cara untuk mempertahankan diri dan menjawab dakwaan terhadap mereka menerusi kenyataan media.

"Maka, pengumuman Azam akan dilihat sebagai kata-kata terakhir berkenaan isu ini, tanpa sebarang respons daripada Nazlan," katanya lagi.

Dalam pengumumannya, Azam berkata siasatan itu adalah sebahagian daripada prosedur apabila laporan dibuat.

Ia berhubung dakwaan portal Malaysia Today milik blogger Raja Petra Kamaruddin baru-baru ini mendakwa Nazlan mempunyai "kekayaan yang tidak dapat dijelaskan sumbernya". Nazlan telah membuat laporan polis berhubung dakwaan itu.

Syahredzan

Nazlan adalah hakim yang menjatuhkan sabitan bersalah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes SRC International.

Pemuda Amanah dan Peguam Muda Amanah pula menyifatkan sebab yang dinyatakan SPRM berkenaan siasatan itu sebagai " lemah, tidak berasas dan mengelirukan".

"Tidak salah untuk umum beranggapan bahawa siasatan yang sedang dijalankan ke atas Nazlan ini adalah suatu bentuk intimidasi eksekutif ke atas badan kehakiman," kata exco Pemuda Amanah Fadhli Umar Aminolhuda.

Pengerusi Peguam Muda Amanah itu juga membangkitkan Seksyen 29(3) Akta SPRM yang menyatakan kuasa untuk menyiasat oleh SPRM boleh digunakan jika pegawai SPRM ada "sebab untuk mengesyaki" dan bukan hanya kerana laporan dibuat.

Ahli jawatankuasa pusat Muda Lim Wei Jiet turut berkata tidak betul untuk SPRM menyatakan kertas siasatan perlu dibuka untuk setiap laporan yang dibuat.

"Undang-undang membolehkan pihak berkuasa mengetepikan laporan remeh agar tidak membazir tenaga kerja dan masa.

"Ini terutama apabila laporan itu daripada seorang penulis blog kontroversi yang diragui," katanya dalam kenyataan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen