Penjual buku sekali lagi mengulangi gesaan mereka agar kerajaan menghalang Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), sebuah entiti di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), daripada terlibat dengan perniagaan penjualan buku.
Persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM), Persatuan Penjual Buku Malaysia dan Gabungan Persatuan Alat Tulis dan Persatuan Penjual Buku Malaysia, dalam satu kenyataan bersama, berkata langkah itu menyimpang daripada objektif MBKM dan ia juga dilihat berat sebelah kerana hubungannya dengan kerajaan.
Kumpulan berkenaan bimbang bahawa MBKM bekerjasama dengan syarikat Dropee untuk membentuk platform perniagaan digital kepada kerajaan untuk menjual buku kepada KPM.
“Dengan terdapat menteri pendidikan, ketua setiausaha (KPM) dan ramai pegawai tertinggi kerajaan, penglibatan mereka pastinya akan meyakinkan pihak sekolah dan pegawai agensi kerajaan untuk membeli melalui platform ini.
“Ini adalah salah guna kuasa secara tidak langsung untuk memberi kelebihan yang berat sebelah dan menindas pasaran sedia ada yang bebas dan berdaya saing secara terbuka,” kata mereka.
Mereka mengulangi bahawa MBKM harus kembali kepada objektifnya di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) untuk memupuk amalan membaca.
“MBKM di bawah naungan KPM tidak boleh terlibat secara langsung dalam platform digital (entiti swasta) Dropee.
“Biar Dropee bersaing dengan orang lain untuk menembusi pasaran tanpa bergantung daripada kerajaan melalui MBKM,” kata mereka.
Tambah mereka, melalui usaha sama itu, MBKM juga sedang berusaha untuk mengenakan komisen kepada penjual buku sebanyak 20 peratus, lebih tinggi daripada platform seperti Shopee yang mengenakan caj 2.5 peratus.
“Kami mahukan ketelusan dan menuntut bagaimana 20 peratus itu dicapai?
“Penglibatan MBKM dalam platform ini akan membunuh ekosistem perdagangan buku, sekaligus ribuan peniaga, pengedar, penghantar buku mikro, akan kehilangan pekerjaan mereka,” kata mereka.
Mereka mengulangi gesaan supaya Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob campur tangan berhubung perkara itu.
“Penjualan buku pasaran bebas mesti terus diutamakan untuk mengekalkan ekosistem buku Malaysia.
Sebarang gangguan secara langsung terhadap ekosistem buku akan memberikan kesan negatif kepada ekonomi Malaysia secara keseluruhannya," kata mereka.

