Bekas ketua polis negara Abdul Hamid Bador tidak boleh berdiam diri dengan dakwaannya mengenai kewujudan "kartel kotor" dalam pasukan polis yang bekerjasama dengan penjenayah, kata Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran.
Pemimpin DAP itu berkata ia susulan satu lagi penafian Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, mengenai kewujudan kartel dalam menentukan kenaikan pangkat dalam pasukan keselamatan itu.
"Kenyataan ketua polis negara itu membimbangkan. Hakikat bahawa dia (Acryl) dan pendahulunya (Abdul Hamid) bercanggah antara satu sama lain secara terbuka adalah perkara yang serius.
"Ini tidak boleh disapu di bawah permaidani. Ia mesti disiasat dengan betul. Inilah sebabnya Hamid tidak boleh berdiam diri selepas penafian oleh ketua polis negara," kata Kulasegaran dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, isu tersebut sudah menjadi kepentingan umum dan rakyat perlu tahu jika ada kebenaran dalam dakwaan Abdul Hamid.
Terdahulu pada 1 April, Acryl Sani sekali lagi dilaporkan menafikan dakwaan Abdul Hamid yang dibuat beberapa bulan sebelum bersara pada Mei tahun lalu.
Abdul Hamid ketika itu mendakwa terdapat gerakan yang terdiri daripada pegawai polis muda dalam pasukan itu yang berpakat untuk menyingkirkannya.
Sementara itu, Kulasegan berkata dia juga telah membuat laporan polis tahun lepas berdasarkan dakwaan Abdul Hamid tetapi tidak dimaklumkan sebarang hasil daripada siasatan itu.
"Di sinilah masalah bermula, polis menyiasat diri mereka sendiri. Ini menunjukkan keperluan yang jelas untuk penubuhan suruhanjaya bebas aduan dan salah laku polis (IPCMC) yang telah lama dicadangkan.
"Ia boleh memainkan peranan penting dalam menangani kebimbangan ini dan meminta polis bertanggungjawab atas sebarang salah laku," katanya.
Sebagai rekod, Acryl Sani pada Mei tahun lepas, sejurus selepas memegang jawatan, berkata polis tidak akan campur tangan dalam siasatan yang akan dijalankan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
Dakwaan itu juga dibahaskan di parlimen dan Kementerian Dalam Negeri berkata semasa persidangan Dewan Rakyat November lalu berkata bahawa siasatan awal tidak menunjukkan bukti untuk menyokong dakwaan Abdul Hamid.

