malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Gantung tugas 57 guru Kafa, kerajaan tak mahu ambil risiko - MB
Diterbitkan:  Mar 29, 2022 3:54 PM
Dikemaskini: 7:54 AM
ADS

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata penggantungan tugas 57 orang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19 dibuat demi menjaga kemaslahatan dan kepentingan awam.

Katanya, kerajaan negeri tidak mahu mengambil risiko atas pendirian kumpulan guru berkenaan yang boleh mengancam kesihatan anak-anak murid dan guru lain di sekolah.

Tindakan penggantungan itu juga, katanya, hanya diambil setelah usaha rundingan sejak Ogos tahun lalu, tetap menemui jalan buntu.

"Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) disarankan untuk mengambil langkah rundingan, perbincangan dan sebagainya. Kita sudah ambil langkah wajar dengan mengingatkan mereka (mengenai risiko) sejak Ogos dan September tahun lalu yang mana kita panggil mereka satu persatu.

"Selepas beberapa proses, mereka ini masih tegar walaupun sudah ulang kali dimaklumkan mengenai risiko yang bakal mereka hadapi.

"Kita hormati pendirian mereka tetapi ia membawa risiko kepada anak-anak dan guru di sekolah jadi kita tidak mahu mengambil risiko itu," katanya seperti dilaporkan BH Online.

Penggantungan tugas 57 guru berkenaan diumumkan Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad pada semalam, bagi tempoh dua bulan.

Namun, katanya, sekiranya mereka masih enggan mengambil vaksin dalam tempoh digantung berkenaan, mereka akan ditamatkan perkhidmatan.

Dia berkata, tindakan itu selaras dengan dukacita Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan tentang perkara berkenaan, bukan saja kepada guru Kafa, bahkan juga kepada pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen