malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Tarikh PRU kekal jadi hak budi bicara PM - Annuar
Diterbitkan:  Mar 13, 2022 9:47 PM
Dikemaskini: 1:53 PM
ADS

Tarikh pembubaran parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum (PRU) merupakan hak budi bicara perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob, kata Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa.

Annuar menyifatkan tarikh pembubaran parlimen sebagai “rahsia besar” parti pemerintah yang harus diperhalusi dengan teliti, bukannya ditentukan menerusi desakan terbuka.

“Tarikh pembubaran mesti menjadi rahsia besar parti memerintah. Tidak pernah tarikh pilihan raya dan pembubaran kerajaan nak ditentukan melalui desakan terancang dan terbuka.

“Ia umpama memasang jerat di kepala sendiri. Ia harus kekal rahsia dan sebagai hak budi bicara perdana menteri.

“Pucuk pimpinan tertinggi parti harus berbincang dengan teliti, dan boleh memberi pandangan kepada perdana menteri,” kata menteri komunikasi dan multimedia itu di Facebook.

Annuar mengulas kenyataan Ismail bahawa PRU tidak boleh diadakan hanya kerana desakan sekumpulan kecil, sebaliknya pilihan raya merupakan perkara besar yang memerlukan perbincangan selain persediaan pelbagai aspek.

Susulan kejayaan besar BN dalam PRN Johor semalam, isu agar parlimen dibubarkan dijangka akan menghangatkan Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung beberapa hari lagi.

Sebelum ini, terdapat dua kumpulan yang dikatakan berbeza pendapat dalam Umno. Kumpulan pertama adalah mereka yang menyokong presiden, Ahmad Zahid Hamidi dan menuntut PRU diadakan segera, manakala satu lagi kumpulan mahu Ismail kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal parlimen.

Senada dengan Ismail, Annuar menekankan pentingnya persediaan menghadapi PRU15, lebih-lebih perdana menteri mewakili parti minoriti daripada gabungan pelbagai parti dalam pentadbiran Keluarga Malaysia.

Untuk rekod, BN memiliki 42 ahli parlimen di Dewan Rakyat, dengan Umno sendiri memiliki 38 perwakilan bersama sokongan parti lain iaitu Bersatu, PAS, GPS, PBS, Star dan bebas.

‘Teliti dulu semua perkara’

Kata Annuar, persediaan menghadapi PRU tidak boleh disamakan dengan PRN, terutama daripada segi kewangan dan persiapan jentera pilihan raya.

“Bilakah bersedia tidak boleh mengikut jerit pekik sekumpulan kecil yg sedang dalam euphoria kemenangan PRN. Ia memerlukan kepastian pimpinan tertinggi yang bertanggungjawab tentang kesiapsiagaan parti dari sudut sumber, logistik, kewangan, organisasi dan strategi,” katanya.

Tambah Annuar, perbincangan dalam kerajaan juga wajib diambil kira memandangkan kerajaan bukan terdiri daripada satu parti saja, selain sentimen rakyat juga harus diteliti sebelum mengadakan PRU.

“Saya bersetuju masa sudah tiba untuk persiapan PRU dibuat. Sekiranya benar-benar sudah siap, saya fikir elok disegerakan. Bila tarikhnya, terserah kepada budi bicara perdana menteri setelah berunding secara dalaman dengan Majlis Kerja Tertinggi (Umno).

“Yang pasti, BN perlu benar-benar bersedia dan di saat rakyat majoritinya bersama kita. Buat masa ini, ada baiknya kita teliti dulu semua perkara.

“Masa yang ada, tidak lama,” katanya.

Lihat Komen