malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Singapura lebih maju jika ada Umno - Hasni
Diterbitkan:  Mar 10, 2022 5:21 PM
Dikemaskini: 9:21 AM
ADS

Pengerusi BN Johor, Hasni Mohammad membidas PAS, dan menegaskan bahawa Singapura boleh menjadi lebih maju jika ia dipimpin oleh Umno.

Ini selepas Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah mendakwa Singapura lebih maju daripada Malaysia kerana tiada Umno di sana.

“Jika Singapura ada Umno, ia akan lebih maju daripada sekarang,” kata Hasni seperti dipetik Oriental Daily.

Hasni menambah Umno akan sekuat parti pemerintah di Singapura. Parti Tindakan Rakyat telah mentadbir negara pulau itu sejak merdeka.

Hasni juga dipetik sebagai berkata bahawa rakyat Malaysia yang menyeberang ke Singapura setiap hari bukan sahaja terhad kepada rakyat Johor.

Tambahnya, mereka juga termasuk orang Kedah dan Kelantan, dua negeri yang ditadbir PAS.

Semalam, Mohd Amar, yang juga timbalan menteri besar Kelantan, menegaskan Singapura lebih maju daripada Malaysia.

"Saya meminta maaf untuk bertanya secara berterus-terang, Umno ada ke di Singapura?

"Ada BN ke di Singapura? Tak ada. Ini bermakna, jika tak ada Umno, ia menjadi lebih mudah untuk membangunkan negara," katanya seperti dipetik portal berita rasmi PAS, Harakahdaily.

Isu migran Malaysia di Singapura telah menjadi topik utama perdebatan di tengah-tengah kempen untuk pilihan raya Johor.

Ekonomi Johor telah terjejas teruk berikutan sekatan perjalanan yang ketat dengan Singapura akibat pandemik Covid-19.

Kempen untuk pilihan raya Johor bermula pada 26 Feb. Rakyat Johor akan keluar mengundi pada 12 Mac.

Lihat Komen