malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lagi projek tambak laut sultan Johor, kali ini di Selat Melaka
Diterbitkan:  Mar 10, 2022 1:01 PM
Dikemaskini: 5:39 AM
ADS

Sebuah projek tambak laut milik Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di luar perairan pantai Muar, Johor kemungkinan dimulakan seawal tahun ini.

Saiz projek itu adalah sama seperti projek Forest City di Selat Johor, yang juga mempunyai kepentingan Sultan Johor.

Projek baru di Selat Melaka itu tidak akan mengikut konsep Forest City yang merupakan pembinaan pembangunan kediaman bersepadu dan dijual kepada pasaran global, yang amat popular di kalangan warganegara China, tetapi kini bergelut disebabkan sekatan pelaburan luar pesisir Beijing yang dikenakan ke atas penduduknya.

Projek terbaru yang dinamakan Maharani Energy Gateway itu bertujuan untuk mewujudkan hab tenaga dan pelabuhan laut dalam yang melibatkan tiga pulau buatan manusia seluas 1,295 hektar, kira-kira satu perempat saiz Putrajaya.

Sebagai perbandingan, projek Forest City seluas kira-kira 1,370 hektar - dikurangkan kepada hampir 2,000 hektar berikutan laporan pada 2014 bahawa ia cuba memintas proses penilaian kesan alam sekitar (DEIA).

Sebaliknya, Maharani Energy Gateway mengikut peraturan sejak permulaan lagi dengan laporan penilaian kesan alam sekitarnya (EIA) dipaparkan untuk tatapan umum pada 14 Feb, bawah kerajaan sementara, dan boleh diakses sehingga Selasa depan (15 Mac).

Usaha untuk meneruskan projek itu bermula dengan penubuhan Maharani Energy Gateway Sdn Bhd (MEGSB) pada 25 Mac tahun lalu. Laman webnya didaftarkan enam hari kemudian.

MEGSB, dengan modal saham RM10,000,000, adalah pemilik projek tersebut.

Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan 55 peratus pegangan MEGSB dimiliki oleh D Marine Industries Sdn Bhd manakala baki 45 peratus dipegang oleh K Energy Sdn Bhd.

Kepentingan 38.5 peratus

Pemegang saham majoriti dalam D Marine Industries ialah Sultan Ibrahim dengan 70 peratus kepentingan.

Sebanyak 30 peratus lagi dipegang oleh Daing A Malek Daing A Rahaman.

Malaysiakini pada 2014 meneliti peranan Daing A Malek dalam kepentingan perniagaan kerabat diraja Johor dan penglibatannya sebagai ahli penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor. Meskipun lapan tahun sudah berlalu, namun pengaruhnya masih kukuh.

Struktur saham untuk projek Maharani Energy Gateway adalah sama dengan Forest City, dengan Daing A Malek sebagai pemegang saham bersama sultan Johor.

Mengikut struktur saham untuk Maharani Energy Gateway, sultan Johor mengawal saham berkepentingan sebanyak 38.5 peratus, tertinggi di kalangan semua pemegang saham. Daing A Malek pula mempunyai saham berkepentingan sebanyak 16.5 peratus.

Pegangan 45 peratus oleh K Energy menyaksikan pemilik bersama mereka Eric Ong Zong Ren dan Valerie Ong Huei Zhen masing-masing mempunyai kawalan efektif sebanyak 22.5 peratus.

Tidak banyak tumpuan diberikan terhadap EIA susulan pilihan raya negeri Johor yang menyaksikan kesibukan aktiviti politik sejak DUN dibubarkan pada 22 Jan. Kempen secara rasmi dimulakan pada 26 Feb dan rakyat Johor akan mengundi pada Sabtu, 12 Mac ini.

Bagaimanapun, penyandang Adun tempatan di kawasan itu - Nor Hayati Bachok dari Maharani dan Ng Yak Howe dari Bentayan - berkata mereka tidak dirujuk sebelum proses EIA dan hanya mengetahui mengenainya baru-baru ini.

"Kami menggesa kerajaan dan pemaju untuk melibatkan kami sebagai pihak berkepentingan yang mewakili rakyat. Projek mega pada skala ini sudah pasti mengambil masa yang lama untuk dirancang sebelum sampai ke peringkat memaparkan laporan EIA untuk tatapan umum.

"Sepanjang kami menjadi Adun sejak Mei 2018, tiada maklumat mengenai projek itu disalurkan ke pejabat kami," kata mereka dalam satu kenyataan.

Menurut laporan EIA MEGSB, perunding mereka menemu bual dan meninjau 482 responden dan majoritinya menyokong projek tersebut. Namun Nor Hayati dan Ng menegaskan bahawa tidak ramai penduduk yang tahu mengenai projek tambakan itu.

Mereka melahirkan kebimbangan tentang bagaimana projek itu akan memberi kesan kepada kehidupan nelayan dan menggesa orang ramai menyemak laporan EIA dan memberikan maklum balas.

Kelulusan segera

Proses menjadikan penambakan minyak dan gas itu menjadi kenyataan mencapai kemajuan yang besar bawah Menteri Besar Hasni Mohammad, sehinggakan draf Rancangan Struktur Johor 2030 diubah suai untuk menampung projek penambakan itu.

Pada 21 Jun 2021, kurang daripada tiga bulan selepas MEGSB ditubuhkan, Pejabat Tanah Muar menulis surat kepada D Marine Industries Sdn Bhd, memaklumkan mereka diberikan 1,295 hektar tanah di kawasan laut yang diperlukan untuk penambakan.

Pemberian tanah-tanah tersebut iaitu PTD233572 (607 hektar), PTD7682 (607 hektar) dan status PTD 6758 (81 hektar) adalah selama-lamanya dan premiumnya adalah pada "harga pasaran", walaupun tiada jumlah dinyatakan dalam surat itu, yang disertakan sebagai sebahagian daripada laporan EIA.

Lima belas hari kemudian, pada 6 Julai 2021, exco Johor bawah Hasni memberikan kelulusan terhadap projek itu. Keputusan disampaikan kepada MEGSB dalam surat bertarikh 29 Julai.

Pada 5 Nov 2021, laporan tambahan kepada draf Rancangan Struktur Negeri Johor 2030 telah dipamerkan kepada umum. Pengubahsuaian itu, antara lain, adalah untuk mengambil kira pembangunan industri minyak dan gas di luar pantai Muar.

Dalam surat bertarikh 10 Jan, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Johor memaklumkan MEGSB mengenai penamatan proses bantahan awam selama sebulan bagi draf pindaan Rancangan Struktur Negeri Johor 2030.

Bagaimanapun, ia berkata dokumen itu perlu dikemukakan kepada exco Johor sebelum ia boleh diwartakan. Ia juga mendedahkan bahawa perkara itu akan dipertimbangkan pada 27 Jan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 22 Jan dan diwartakan pada 23 Jan. Tidak jelas jika kerajaan sementara Johor membuat sebarang keputusan pada 27 Jan.

Bagaimanapun, jabatan itu memaklumkan kepada MEGS bahawa sementara itu, syarikat itu boleh meneruskan proses EIA.

Lokasi penambakan

Menurut dokumen EIA, penambakan pertama seluas 607 hektar akan dilakukan kira-kira 2.37 batu nautika (4.4km) dari pantai bandar Muar.

Dirujuk sebagai Plot A, matlamatnya adalah untuk memulakan penambakan tahun ini dan menyiapkannya menjelang 2028. Ia akan berfungsi sebagai tempat simpanan minyak dan gas serta beberapa kemudahan lain.

Penambakan kedua, juga seluas 607 hektar, dengan akan dilakukan 1.03 batu nautika (1.9km) dari pantai Parit Bakar, di selatan bandar Muar.

Dirujuk sebagai Plot B (PTD7682), penambakan itu dijangka bermula pada 2023 dan berlangsung sehingga 2027. Pulau buatan manusia ini akan menjadi tempat untuk loji petrokimia, loji penapisan dan janakuasa.

Penambakan Plot C (PTD6758) pula akan dilakukan di 0.41 batu nautika (0.76km), iaitu di luar pantai Kampung Sri Menanti, sebuah perkampungan yang terletak di antara Muar dan Batu Pahat.

Meliputi kawasan seluas 81 hektar, penambakan itu dirancang bermula pada suku ketiga tahun ini sehingga suku ketiga 2023. Ia akan menjadi tempat untuk kemudahan bagi pembinaan kapal dan perkhidmatan pembaikan.

Pembangunan pulau buatan manusia itu pula, dijangka bermula pada suku ketiga 2023 dan akan berlanjutan hingga 2036.

Terdapat juga pembangunan darat yang dirujuk sebagai Plot D (PTD10498 dan PTD10499) di selatan Kampung Sri Menanti, yang akan melibatkan pembinaan stesen regasification dan terminal gas asli cecair terapung.

Tapak yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 16.2 hektar itu adalah kawasan pertumbuhan paya bakau tetapi tidak diwartakan sebagai kawasan simpanan.

“Anggaran keluasan kawasan paya bakau yang akan hilang bagi memberi laluan kepada projek itu ialah 16.203 hektar (Plot D).

"Kawasan itu, bagaimanapun, mengalami kemusnahan hutan bakau yang serius dengan anggaran kekurangan sebanyak 70.8 peratus," menurut laporan EIA projek itu.

Paya bakau dan nelayan

Tambah laporan itu, kawasan hutan paya bakau yang lebih luas dari Muar dan Tanjung Ketapang juga akan berkurangan semasa projek itu berjalan, tetapi ia dijangka kembali seperti biasa selepas penambakan.

Kawasan paya bakau di pesisir pantai Muar bermula dari Tanjung Ketapang hingga Parit Semerah.

Ciri-ciri kawasan tempatan lain yang mungkin terjejas termasuk 13 jeti nelayan dari Sungai Muar ke Tanjong Tohor, yang boleh menyaksikan pemendapan terkumpul semasa aktiviti penambakan.

Laporan itu menganggarkan terdapat 935 nelayan dengan 418 bot di kawasan itu.

Terdapat juga Pantai Mesra Seri Menanti yang menurut laporan itu merupakan kawasan rekreasi yang "hanya untuk aktiviti bersiar-siar".

Ia selain aktiviti akuakultur di kawasan tersebut (termasuk kupang, udang, tilapia dan lala) serta 22 togok (perangkap pancing) di kawasan pantai.

“Nelayan yang sering menangkap ikan di kawasan yang terjejas itu perlu mencari lokasi lain.

“Kos tambahan menangkap ikan itu melibatkan kenaikan kos perjalanan pergi dan balik dari kawasan alternatif memancing.

“Mereka mungkin terpaksa melakukan perjalanan lebih jauh kerana konflik mungkin akan timbul apabila mereka menceroboh kawasan nelayan sedia ada.

"Aktiviti akuakultur dijangka akan kurang terjejas oleh aktiviti-aktiviti projek itu. Selepas aktiviti penambakan, kualiti air laut bagi kepekatan sedimen terampai (mg/l) dijangka kembali kepada kepekatan garis dasar," kata laporan itu.

Laporan itu berkata ia meninjau terhadap situasi 101 nelayan mengenai projek itu dan kebanyakan mereka (49 nelayan) tidak mempunyai pendapat terhadap perkara itu, manakala 23 bersetuju dengan cadangan itu.

Projek itu dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak RM99 bilion dalam tempoh 10 tahun. Ia juga dijangka menjana 26,769 peluang pekerjaan dalam tempoh yang sama, menurut laporan itu.

Semasa kempen pilihan raya negeri Johor, Hasni telah memberitahu rancangannya untuk menjadikan Muar sebagai hab minyak dan gas jika BN memenangi pilihan raya.

Projek Maharani Energy Gateway juga merupakan sebahagian daripada manifesto BN Johor.


[Baca berita asal]