Kejayaan yang dikecapi Felda adalah hasil perjuangan kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dari dahulu hingga kini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata Felda juga tidak akan wujud tanpa perjuangan seorang daripada pemimpin BN iaitu Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, yang bertujuan membasmi kemiskinan dalam kalangan masyarakat luar bandar terutama orang Melayu.
"Agenda tersebut diteruskan oleh kepimpinan BN selepas itu hingga ke hari ini… saya juga seorang daripada pemimpin BN.
"Jadi, sebab itulah tuan-tuan dan puan-puan, kita (mahu) berterima kasih seperti orang lain tetapi yang pentingnya, kita sedar kejayaan Felda adalah hasil perjuangan kepimpinan BN daripada dahulu hingga kini," katanya semasa berucap pada Majlis Transformasi Perladangan Felda di Balai Raya Felda Endau hari ini yang turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Saddique dan Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh.
Ismail Sabri juga berkata banyak pihak mendakwa mereka bertanggungjawab dan sayang kepada Felda namun terdapat bukti yang menunjukkan perbuatan mereka tidak seperti yang diperkata.
"Kalau nak kata orang lain sayang kepada Felda, ada bukti bahawa mereka tidak seperti apa yang mereka sebutkan. BN lah yang sayang kepada Felda dan peneroka," kata beliau.
Selain peneroka menikmati pendapatan yang semakin meningkat, Perdana Menteri turut berkongsi berita baik berkaitan Felda apabila syarikat perladangan FGV Holdings Bhd mencatatkan keuntungan besar.
“Alhamdulillah, tahniah saya ucapkan kepada FGV yang mencatatkan keuntungan RM1.17 bilion bagi tahun kewangan 2021 dan keuntungan ini pastinya memberi impak positif secara langsung kepada Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) yang kini memiliki 82 peratus saham FGV,” katanya.
Di sebalik kegembiraan peningkatan harga yang tinggi itu, Ismail Sabri berkata industri sawit juga berdepan dengan cabaran yang menjejaskan pengeluaran buah tandan segar seperti kekurangan buruh ladang selepas pandemik Covid-19 yang mengakibatkan minyak sawit berkurangan hampir satu juta tan pada 2021 berbanding tahun sebelumnya.
Supaya tidak kerugian dalam jangka masa panjang, beliau berkata kerajaan sedang menanganinya dengan merangka strategi menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan menumpukan usaha mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing melalui penggunaan teknologi dan Internet of Things (IoT).
“Revolusi Industri 4.0 perlu menjadi sebahagian keutamaan setiap industri dan agensi supaya kita tidak ketinggalan dalam kegiatan ekonomi bernilai tinggi,” kata Ismail Sabri.
Perdana Menteri turut mezahirkan penghargaan kepada Felda kerana menyokong aspirasi kerajaan melalui visi Ladang Lestari 2523 yang diperkenalkan oleh Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh dan barisan pengurusannya dalam usaha memastikan pengurusan ladang peneroka lebih berdaya saing.
Beliau berkata visi transformasi perladangan Felda itu mempunyai objektif yang jelas iaitu meningkatkan pendapatan peneroka melalui pemerkasaan teknologi dan mekanisasi dalam perladangan.
Menurutnya, empat teras strategi menerusi dasar mekanisasi Felda akan membantu mengurangkan 50 peratus penggunaan buruh, meningkatkan produktiviti sehingga 30 peratus dan mengurangkan kos operasi ladang sebanyak 20 peratus, dan usaha tersebut akan memberi impak dan manfaat besar kepada warga Felda.
Ismail Sabri juga berkata pengunaan aplikasi pertanian melalui mekanisasi dan digitalisasi akan mengekalkan standard akreditasi antarabangsa yang perlu dipatuhi dalam membantu mengukuhkan integriti dan kualiti sawit Malaysia.
- Bernama

