malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Buruh paksa': Kastam AS rampas RM10.33 juta minyak sawit Malaysia
Diterbitkan:  Mar 9, 2022 4:31 PM
Dikemaskini: 8:47 AM
ADS

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat merampas empat penghantaran minyak sawit dari Malaysia, yang dikatakan berkemungkinan dihasilkan melalui buruh paksa.

Menurut CBP, penghantaran seberat 246 tan itu bernilai kira-kira AS$2.47 juta (RM10.33 juta).

Tiga daripada penghantaran telah disita lebih awal pada 11 Feb, manakala penghantaran terbaru dirampas pada 1 Mac lalu. Kesemua rampasan dibuat di Baltimore.

"CBP akan terus memastikan barangan yang dibuat dengan buruh paksa tidak memasuki perdagangan negara kami dan kami akan membantu menghapuskan amalan tidak berperikemanusiaan ini daripada rantaian bekalan AS," kata Pemangku Pengarah Pelabuhan Kawasan CBP di Baltimore, Marc Calixte.

CBP tidak menyatakan daripada siapa penghantaran itu.

Bagaimanapun, dalam kenyataannya, ia menyebut berkuat kuasa 30 Dis 2020 terdapat perintah untuk menahan produk minyak sawit keluaran Sime Darby Plantation Berhad.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen daripada Sime Darby Plantation.

Pada Januari tahun ini, CBP berkata ia telah menemui bukti yang mencukupi mengenai buruh paksa di Sime Darby Plantation, dan produk syarikat itu tertakluk kepada penyitaan.

Sebagai maklum balas, Sime Darby Plantation berkata ia akan bekerjasama dengan CBP untuk menyelesaikan perkara itu.

Pada Februari, syarikat itu memperuntukkan RM82.02 juta untuk membayar pampasan kepada pekerja asing dan bekas pekerja yang membayar yuran pengambilan untuk mendapatkan pekerjaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen