malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib perlu digantung dari parlimen jika tak hadir hari ini - Lim
Diterbitkan:  Mar 9, 2022 10:01 AM
Dikemaskini: 2:04 AM
ADS

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng menggesa agar Najib Razak digantung daripada sidang parlimen kerana "sikap keras kepala dan degilnya".

Ini selepas bekas perdana menteri itu berkata dia hanya akan menjelaskan skandal 1MDB kepada Dewan Rakyat selepas pilihan raya negeri Johor selesai, walaupun dijadualkan menjelaskan perkara itu semasa persidangan hari ini.

“Jelas sekali Najib lebih mementingkan kempen dalam pilihan raya negeri Johor, daripada menghormati ketuanan parlimen dan membuat kenyataan yang benar sebagai ahli parlimen.

“Dengan memilih untuk mengingkari arahan speaker, beliau telah melanggar Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 43, di mana keputusan Speaker adalah muktamad berhubung pematuhan peraturan perintah itu.

"Sekiranya Najib enggan menarik balik sikap keras kepala dan degilnya, beliau harus segera dihukum dengan penggantungan daripada parlimen sehingga dia akur," katanya pada satu kenyataan.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, penggantungan serta-merta diperlukan daripada parlimen sementara menunggu Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.

Lim mempersoalkan kuasa Najib yang membuatkan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menunggu maklum balasnya mengenai isu 1MDB.

“Adakah Najib menganggap ‘Bossku’ lebih besar daripada speaker?” katanya.

Lim berkata dakwaan ahli parlimen Pekan itu di Dewan Rakyat bahawa tiada dana awam digunakan untuk membayar hutang 1MDB adalah tidak berasas dan tidak mempunyai merit kerana ia disangkal secara terbuka Menteri Kewangan Tengku Zaful Abdul Aziz .

Lim yang juga bekas menteri kewangan berkata, menurut Kementerian Kewangan, hanya RM19.14 bilion dana telah diperoleh semula setakat ini dan dimasukkan ke dalam akaun amanah pemulihan aset.

Ini berbeza dengan RM23 bilion daripada RM52 bilion yang didakwa Najib sebelum ini.

Bercakap kepada pemberita di Bukit Gambir, Johor semalam, Najib berkata dia akan menghubungi speaker berhubung tuntutan Azhar supaya dia menjelaskan perkara itu semasa persidangan parlimen hari ini.

Kata Najib, dia hanya boleh menjelaskan kepada Dewan Rakyat mengenai kenyataannya - bahawa hutang 1MDB tidak dibayar menggunakan wang pembayar cukai - selepas pilihan raya negeri Johor selesai.

Dilaporkan semalam bahawa Azhar menulis surat kepada Najib meminta beliau memberi penjelasan kepada Dewan Rakyat pada Rabu.

Speaker berkata demikian ketika ditanya di Parlimen semalam untuk maklum balas mengenai usul Tony Pua (Pakatan Harapan-Damansara) supaya Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) Dewan Rakyat berhubung kenyataan itu.

Pua mengemukakan usul itu berikutan ucapan Najib di Dewan Rakyat pada 2 Mac yang dikatakan mengandungi kenyataan yang didakwa mengelirukan Dewan mengenai isu hutang 1MDB. Ini boleh ditafsirkan sebagai menghina Dewan Rakyat.

Najib berkata di Dewan Rakyat ketika membahaskan titah diraja bahawa tiada dana awam digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Bagaimanapun, kenyataannya itu disangkal oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

Kenyataan Najib itu juga menimbulkan kemarahan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, yang berkata hutang 1MDB dijamin oleh kerajaan dan oleh itu apabila 1MDB gagal membayar balik hutangnya, kerajaan terpaksa mengeluarkan wang membayarnya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen