malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Kerajaan sudah bayar RM13.3 bilion hutang 1MDB, ini duit rakyat la'
Diterbitkan:  Mar 7, 2022 5:58 PM
Dikemaskini: 10:32 AM
ADS

PARLIMEN | Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan bekas perdana menteri Najib Razak bahawa tiada dana awam digunakan oleh kerajaan untuk membayar prinsipal hutang 1MDB.

“Menteri kewangan maklumkan kerajaan setakat ini sudah membayar RM13.3 bilion hutang 1MDB. Ini duit rakyatlah,” katanya ketika sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 2 Mac lalu, Najib dalam perbahasannya mendakwa hutang itu tidak dibayar menggunakan dana awam, tetapi daripada wang 1MDB yang dikembalikan oleh beberapa entiti seperti Goldman Sachs Group Inc, firma audit KPMG dan Deloitte, Ambank dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

Namun Muhyiddin hari ini berkata mungkin apa yang dimaksudkan Najib adalah kerajaan telah berjaya mendapatkan semula wang dan aset 1MDB yang diselewengkan untuk membayar hutang tersebut.

Dia berkata pasukan petugas yang berjaya dalam usahanya untuk mendapatkan semula dana dan aset tersebut ditubuhkan ketika dia menjadi perdana menteri.

Dengan usaha pasukan petugas itu, sebanyak RM23 bilion telah diperoleh semula, katanya.

“Bayangkan jika Najib masih perdana menteri. Saya tak fikir dia akan tubuhkan pasukan petugas khas untuk kesan aset dan wang 1MDB yang hilang,” katanya.

Dia mendakwa ini kerana Najib sendiri yang menjadi punca perkara itu berlaku.

Keliru

Muhyiddin juga berkata dia “keliru” kenapa Najib menuduh pentadbirannya sebagai membazirkan wang dan meninggalkan keadaan kewangan negara dalam keadaan yang teruk.

Menurutnya, pentabdirannya membelanjakan “ratusan bilion” untuk langkah mendepani Covid-19, vaksin dan pakej rangsangan ekonomi untuk membantu rakyat.

Justeru, katanya, menyifatkan perkara itu sebagai pembaziran adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif kepada kesusahan yang dialami kalangan yang terjejas akibat wabak tersebut.

“Ramai yang saya jumpa mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas bantuan yang mereka terima,” katanya lagi.

Pentadbiran Muhyiddin memperuntukkan RM530 bilion menerusi beberapa pakej rangsangan ekonomi sejak penularan Covid-19.

[Baca berita asal]

 

 

 

Lihat Komen