malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tempoh penerima Sinovac dapatkan dos penggalak dilanjut ke 31 Mac
Diterbitkan:  Feb 24, 2022 8:27 PM
Dikemaskini: 12:27 PM
ADS

Tempoh untuk semua individu berusia 60 tahun ke atas dan penerima vaksin primer Sinovac berusia 18 tahun ke atas untuk mendapatkan suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap, dilanjutkan sehingga 31 Mac.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata bermula 1 April, status vaksinasi lengkap untuk golongan itu akan ditukar kepada tidak lengkap sekiranya mereka belum mendapat dos penggalak.

“Tempoh masa yang ditetapkan sebelum ini iaitu 28 Feb 2022, kini dilanjutkan sehingga 31 Mac 2022," katanya pada sidang media perkembangan Covid-19, di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata setakat semalam, 97.5 peratus penduduk dewasa telah menerima dos lengkap manakala 60.7 peratus penduduk dewasa yang lengkap menerima vaksin Covid-19, telah menerima dos penggalak.

Khairy dalam pada itu berkata daripada 194 kes kategori tiga, empat, dan lima Covid-19 yang dilaporkan semalam, 45 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 108 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak manakala 41 kes telah menerima dos penggalak.

"Maknanya mereka yang mengalami gejala teruk sekarang adalah mereka yang tiada perlindungan vaksinasi atau tiada perlindungan dos penggalak," katanya.

Semalam, Malaysia mencatatkan 31,199 kes Covid-19 dengan kes sembuh adalah 20,399 kes.

"Walaupun kita menyaksikan peningkatan kes harian dan juga bilangan kemasukan ke hospital, vaksin menunjukkan keberkesanan yang amat baik dalam melindungi individu daripada jangkitan lebih teruk.

"Terutama sekali (bagi) kumpulan dewasa atau warga emas yang telah menerima vaksin dos penggalak, kumpulan remaja telah lengkap divaksin dua dos...sebab itu kita hanya menyaksikan sedikit peningkatan dalam bilangan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi dan kes kematian akibat Covid-19," katanya.

Mengenai laporan kesan mudarat berikutan imunisasi (AEFI), Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 1,758 laporan sepanjang berlangsungnya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula Februari tahun lepas hingga 18 Feb lepas.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 595 laporan diterima dilapor sebagai kes kematian dan siasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin Covid-19 mendapati 443 laporan telah lengkap menunjukkan no causal association has been determined at this point, manakala baki 152 laporan masih dalam siasatan.

Khairy berkata KKM akan mengeluarkan garis dasar kes bagi beberapa penyakit atau insiden kesihatan supaya rakyat tidak sewenangnya mengaitkan insiden kesihatan dengan AEFI.

"Contoh sekarang ini banyak laporan kita terima sama ada daripada laporan rasmi atau media yang tidak dibuat di saluran rasmi AEFI, mengatakan pesakit dapat strok selepas divaksin.

"Setiap hari di Malaysia kita ada 90 hingga 120 kes strok base line (garis asas) sebelum PICK bermula. Dalam keadaan kita beri vaksin kepada ramai orang akan ada kes strok yang tiada kaitan dengan vaksin.

"Kita memang ada natural baseline (garis dasar semula jadi) sebab itu sangat penting untuk kita buat siasatan, analisis makmal, sampel tisu dan sampel darah untuk kita dapat apa yang dikatakan casuality (korban) sama ada vaksin sebab AEFI atau sebab lain," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen