malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Daripada tahanan ISA jadi jutawan, bos Hai-O meninggal dunia
ADS

Bekas tahanan ISA yang menjadi jutawan Tan Kai Hee meninggal dunia malam semalam pada usia 85 tahun.

Tan adalah antara pemimpin muda Barisan Sosialis pada 1960-an telah ditahan di bawah ISA selama lapan tahun. Selepas dibebaskan dia menubuhkan Hai-O Enterprise Bhd dan menjadi jutawan yang menyumbang semula kepada masyarakat dalam pelbagai cara.

Bekas rakan seperjuangan Barisan Sosialis Syed Husin Ali berkata dia sedih dengan kematian itu.

“Kematiannya adalah satu kehilangan besar kepada masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan kepada saya secara peribadi.

“Saya mengenali Kai Hee sejak 1960, diperkenalkan oleh rakan baiknya, Dr MK Rajakumar. Saya mengenalinya sebagai seorang tokoh yang sudah lama berkecimpung dalam politik progresif untuk memperjuangkan perpaduan negara dan membela golongan miskin dan tertindas.

"Selepas bersara daripada dunia politik, beliau menceburi bidang perniagaan.Dia merupakan seorang dermawan yang terkenal dan banyak menyumbang kepada pendidikan dan kebajikan rakyat," kata Syed Husin.

Tambahnya, Tan jua adalah rakan karib Allahyarham Usman Awang.

“Dia membina Yayasan Usman Awang (YUA) dan menghulurkan wang untuk aktiviti YUA.

"Sumbangan Tan Kai Hee kepada negara adalah sangat besar. Dia patut disanjung tinggi dan akan diingati dengan penuh penghormatan."

Sebelum menjadi usahawan yang berjaya, Tan adalah timbalan setiausaha agung Parti Buruh Malaya dan ahli Barisan Sosialis Rakyat Malaya pada 1960-an.

Dia pernah dilaporkan berkata bahawa kesusahan yang ditanggungnya semasa membesar menyaksikan dirinya condong kepada pemahaman kiri. Semasa muda, Tan pernah bekerja di ladang getah, kilang mengetin nanas, kedai basikal dan juga berniaga dipasar malam.

Selepas penahanannya bawah ISA, dia bergelut untuk mendapatkan pekerjaan dan mula menjual beli herba serta ubat-ubatan Cina sebelum perlahan-lahan membinanya menjadi perusahaan berjuta-juta ringgit.

Penyair dan bekas wartawan Raja Ahmad Aminullah juga memuji Tan sebagai seorang yang bersikap terbuka dan bersemangat pemurah.

“Diacmenubuhkan sebuah tabung amanah dan memperuntukkan keuntungan perniagaannya (kalau tidak silap saya sekitar 100 juta ringgit), untuk diagihkan sebagai kerja amal atau derma,” katanya.

Menurutnya, hanya sebahagian kecil daripada dividen yayasan itu diperuntukkan untuk anak-anaknya, kerana mempercayai bahawa mereka harus membina kebolehan dan perjalanan hidup mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen