malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tanah Kg Sg Baru: Penduduk gesa pejabat menteri beri kenyataan bertulis
Diterbitkan:  Feb 12, 2022 7:02 PM
Dikemaskini: 11:02 AM
ADS

Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres dan Flat Kampung Sungai Baru menggesa pejabat Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim memberi kenyataan bertulis berhubung perbincangan antara menteri dengan penduduk yang diadakan baru-baru ini.

"Kami merasakan bahawa sesi perjumpaan ini tidak diambil secara serius berikutan jemputan yang terlalu mendadak dan tiada sebarang minit mesyuarat diambil oleh PKB (Perbadanan Kampung Baru) atau wakil kementerian.

"Sehubungan dengan itu, kami meminta pejabat Menteri atau PKB untuk mengeluarkan kenyataan bertulis kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian Persekutuan (JKPTG) dan salinan kepada Jawatankuasa Bertindak berkenaan isi perbincangan mesyuarat.

"Ini sebagai jaminan untuk penangguhan sesi perbicaraan bersama penduduk sehingga mencapai persetujuan kedua-dua belah pihak," kata jawatankuasa itu dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Shahidan mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa bertindak yang mewakili penduduk Kampung Sungai Baru pada 10 Feb di Menara DBKL, Kuala Lumpur.

Pertemuan kedua antara menteri dengan jawatankuasa itu turut dihadiri pihak PKB dan beberapa pihak berkepentingan lain.

Dalam mesyuarat, Shahidan memberikan beberapa cadangan daripada pihak kementerian mengenai status pengambilan tanah penduduk setelah pengisytiharan Warta 8.

Antaranya sesi perbicaraan ke-2 di JKPTG ditangguhkan agar rundingan semula boleh dijalankan.

Selain itu, Shahidan juga mencadangkan pelantikan penilai bebas swasta untuk rujukan dan perbandingan nilai pampasan, selain meminta JKPTG menangguhkan sesi perbicaraan sehingga rundingan selesai.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru melibatkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak tahun 2016.

Pada Julai 2021 lalu, penduduk di Kampung Sungai Baru telah menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.

Namun penduduk khususnya penghuni rumah teres tidak setuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan oleh PTGWPKL.

Sehingga kini, sebanyak 37 penduduk rumah teres tidak setuju dengan pampasan ditawarkan, manakala 27 penghuni bersetuju.

"Penduduk Kampung Sungai Baru berharap agar isu ini terus mendapat perhatian dan pembelaan daripada pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan pihak-pihak berkuasa yang berkenaan, iaitu PKB, PTG dan DBKL.

"Ini bagi memastikan penduduk Kampung Sungai Baru mendapat hak yang seadil dan sewajarnya," kata mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen