malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'DNB boleh jadi kegagalan mega kedua lepas 1MDB jika tak diurus baik'
Diterbitkan:  Feb 11, 2022 1:40 PM
Dikemaskini: 5:40 AM
ADS

Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil mendakwa pelantikan Digital Nasional Berhad (DNB) sebagai pelaksana projek perkhidmatan 5G di Malaysia mampu menjadi "kegagalan mega kedua terbesar" selepas 1MDB jika gagal diuruskan dengan baik.

Ini kerana menurut pemimpin Amanah itu, projek 5G yang mencecah RM20 bilion itu tidak mempunyai elemen persaingan dan inovasi kerana hanya digerakkan oleh DNB.

Dia juga menyuarakan kebimbangan berlaku penyelewengan dan pemberian kontrak kepada kroni oleh syarikat milik penuh kerajaan itu menjelang PRU15.

“DNB berpotensi menjadi kegagalan mega kedua terbesar selepas 1MDB jika gagal diuruskan dengan baik.

“Jaringan 5G tidak akan dapat digerakkan tanpa kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi. Maka, penglibatan mereka dalam pelaksanaan 5G menerusi konsep konsortium adalah cara terbaik pada ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, langkah mandat kepada DNB untuk membina infrastruktur 5G dan kemudiannya menyewakan aksesnya kepada operator bertentangan dengan kaedah bidaan kompetitif yang diamalkan di banyak negara lain.

Dia mencadangkan kepada kerajaan supaya ekuiti di DNB, yang ketika ini dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), dijual kepada syarikat-syarikat telekomunikasi, di mana ia harus ditukar menjadi satu konsortium yang dibentuk oleh semua syarikat telekomunikasi di Malaysia agar pelaksanaan 5G boleh digerakkan secara kolektif.

“Memandangkan 5G ini adalah ‘komoditi awam’, kerajaan dicadangkan untuk memegang saham emas dalam konsortium baru ini,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin di Dewan Rakyat membidas bekas menterinya Saifuddin Abdullah dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz kerana membincangkan DNB dan rangkaian liputan 5G negara secara rahsia.

Malah, menurutnya, pegawai SKMM yang lain juga tidak dimaklumkan mengenai butiran mesyuarat itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen