malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Bagaimana pelaksanaan peruntukan mangsa keganasan rumah tangga?
ADS

ULASAN | Pandemik Covid-19 telah mendedahkan bahawa ia bukan sahaja isu kesihatan tetapi isu jurang ketidaksamaan yang wujud dalam masyarakat. Risiko keganasan rumah tangga dan keganasan berasaskan gender juga dilihat meningkat.

Secara rekod, setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Hotline WAO (untuk kes keganasan rumah tangga dan diskriminasi gender) mencatatkan peningkatan kes hampir empat kali ganda berbanding sebelum PKP.

Trend yang sama dapat dilihat di peringkat nasional dengan peningkatan panggilan yang diterima oleh talian KASIH, yang telah menerima lebih daripada 11,000 panggilan dalam tempoh satu bulan selepas PKP 3.0 telah diumumkan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2022 yang telah diumumkan pada 29 Oktober 2021, sebagai respons kepada isu kritikal ini, sebanyak RM37.5 juta telah diperuntukkan untuk menangani isu keganasan rumah tangga, termasuk RM13 juta untuk memperkasakan D11, PDRM, dan RM10 juta untuk Skuad Waja.

Tambah lagi, dalam satu kajian oleh Women’s Aid Organisation (WAO) pada tahun 2019, dengan hanya 43 rumah perlindungan yang berdaftar, Malaysia masih kekurangan rumah perlindungan untuk mangsa keganasan rumah tangga.

Oleh itu, pengiktirafan 12 masjid sebagai tempat perlindungan sementara merupakan satu usaha yang positif. Berdasarkan ini, peruntukan RM10 juta untuk penambahan Rumah Perlindungan khas untuk wanita dan RM4.5 juta untuk penambahan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) juga dialu-alukan.

Namun, bagaimana dengan pelaksanaannya?

Menurut Council of Europe, sebuah negara memerlukan satu rumah perlindungan bagi setiap 10,000 penduduk. Bagi jumlah penduduk di Malaysia, ini bermaksud kita memerlukan tambahan sebanyak 271 rumah perlindungan (tidak termasuk masjid - nombor ini 7.3 kali ganda jumlah rumah selamat yang sedia ada di Malaysia).

Walaupun jurang ini besar, peruntukan RM10 juta ini boleh membantu mengurangkan jurang sedia ada jika pelaksanaan dirancang dan dipantau secara telus. Isu kekurangan rumah perlindungan tidak akan diselesaikan dalam tempoh satu tahun dan memerlukan kerjasama inter-agensi.

Oleh itu, sangat penting untuk memastikan rancangan pembangunan rumah perlindungan adalah lestari (sustainable) dan berfungsi sebagai langkah pertama menangani isu ini dalam jangka masa panjang.

Sebagai permulaan, adalah sangat penting RM10 peruntukan untuk penambahan rumah perlindungan disalurkan untuk membina lebih banyak rumah perlindungan sementara untuk menangani kekurangan sedia ada.

Ini juga dengan mengambil kira bahawa projek-projek pembangunan rumah perlindungan adalah sebahagian dari usaha yang berterusan dengan peruntukan RM21 juta yang diberikan pada tahun 2021. Pada masa yang sama, rumah perlindungan sedia ada yang telah diwartakan, termasuk yang diuruskan oleh badan bukan kerajaan (NGO), juga perlu diambil kira dalam rancangan peruntukan RM10 juta ini, terutamanya dengan peningkatan kos akibat Covid-19.

Peruntukan ini boleh membantu menampung kos pengoperasian disebabkan oleh peningkatan kes KRT, serta memastikan tempat perlindungan sentiasa memenuhi piawaian dan SOP kesihatan dan keselamatan. Tambahan pula, peruntukan ini sekali gus boleh digunakan untuk membina program-program pemberdayaan bagi pemandiri yang tinggal di rumah perlindungan sementara itu nanti.

Selain daripada itu, peruntukan sebanyak RM4.5 juta diberikan untuk penambahan PSSS bagi melindungi mangsa keganasan rumah tangga (KRT) boleh disalurkan dan dimanfaatkan untuk membina lebih banyak PSSS bergerak di kawasan luar bandar dan di negeri yang mana terdapat kurangnya akses kepada perkhidmatan sokongan kesihatan dan pengurusan kes KRT.

Dalam satu kajian oleh WAO dengan sokongan United Nations Population Fund (UNFPA), wanita akar umbi menyebutkan bahawa mereka kekurangan akses kepada perkhidmatan sokongan dan pusat penjagaan kesihatan untuk melaporkan kes keganasan rumah tangga. Ini juga merupakan satu langkah sementara yang boleh diambil untuk menangani isu kekurangan rumah perlindungan yang telah disebut.

Dan yang terakhir adalah peruntukan RM13 juta bagi pemerkasaan Bahagian D11, PDRM serta RM10 juta bagi Skuad Waja yang mana peruntukan ini boleh disalurkan untuk memberi latihan tambahan dan kemahiran terutamanya latihan sensitiviti dan anti-bias untuk membantu mengenalpasti, mengendalikan dan menguruskan kes keganasan rumah tangga dan keganasan berasaskan gender dengan lebih baik. Latihan tambahan ini haruslah meliputi ke semua peringkat seperti pegawai D11 (PDRM), pekerja barisan hadapan, jabatan dan kementerian serta bekerjasama dengan NGO sedia ada.

Pandemik telah membawa kita untuk melihat dan menilai semula sistem, struktur dan dasar sedia ada melalui lensa gender. Walaupun peruntukan Belanjawan 2022 ini dilihat positif dan sangat dialu-alukan, adalah penting untuk memastikan perancangan dan pelaksanaan kepada peruntukan dikawal selia dan dipantau agar dapat memberikan manfaat yang maksimum kepada golongan sasar yang sebenar.

Ini juga untuk memastikan Malaysia dapat membina kembali ketahanan dan pemulihan ekonomi yang jitu terutamanya untuk golongan wanita yang merupakan mangsa dan pemandiri KRT.


RUSNI TAJARI ialah Pegawai Kanan Advokasi dan ANIS FARID ialah Pegawai Penyelidik dan Advokasi dari Women’s Aid Organisation (WAO).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen