malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Abdul Hadi: Ahli tergoda ubah hala tuju PAS akan 'disambar jerung'
Diterbitkan:  Feb 2, 2022 10:12 PM
Dikemaskini: 2:49 PM
ADS

Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberi amaran terhadap anggota parti itu "yang digoda" dan melanggar sumpah taat setia (baiah) mereka terhadap PAS.

Tegas Abdul Hadi, PAS tidak akan bersama Umno melalui pendekatan BN "yang telah bocor bahteranya kerana PAS tidak mahu tenggelam bersama" gabungan itu.

"Walaupun terdapat segelintir ahli PAS yang digoda supaya mengubah ‘road map’ dan hala tuju PAS, namun yang tergoda itu akan kembali ke pangkal jalannya, atau terpelanting jatuh disambar jerung, atau tenggelam dalam gelombangnya sepertimana mereka yang pernah melakukannya dahulu.

"Namun, para pemimpin yang setia kepada perjuangan PAS dan ahli-ahli yang memberikan wala’ dan taat secara tidak membabi buta, terus melayari bahteranya hingga sampai ke destinasi dengan izin Allah SWT," katanya pada hantaran di media sosial hari ini.

"PAS yakin bahawa mereka yang mengkhianati baiah mereka kepada PAS pasti akan menerima akibatnya," tegasnya lagi.

Dalam memberi peringatannya, Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang memetik firman Allah SWT pada ayat 10, Surah al-Fath.

'Nak kembalikan Umno ke pangkal jalan'

Tidak jelas siapa yang dimaksudkan Abdul Hadi sebagai ahli yang melanggar baiah itu.

Pun begitu, terdapat pemimpin PAS yang masih mahu mengekalkan kerjasama dengan Umno melalui gagasan Muafakat Nasional manakala presiden PAS itu mahu parti pimpinannya kekal bersama Bersatu di bawah panji Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Abdul Hadi hari ini berkata sudah "terang lagi bersuluh PAS mahu mengembalikan Umno ke pangkal jalan" perpaduan umat Melayu dan Islam mengikut acuan Islam.

"Pada masa yang sama, tidak meninggalkan mana-mana golongan yang tercicir dan bersama masyarakat majmuk dalam gagasan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Akan tetapi, Umno masih lagi membawa pendekatan ‘asabiyyah Melayu yang hanya melibatkan Umno dan PAS sahaja serta meminggirkan sahabatnya sendiri daripada kalangan Bersatu," katanya lagi.

 

Lihat Komen