malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rina: Program JKMPay cegah bantuan dari disalah guna
Diterbitkan:  Jan 30, 2022 6:26 PM
Dikemaskini: 10:26 AM
ADS

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun mempertahankan program bantuan tanpa tunai (JKMPay) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ia susualn bantahan yang disuarakan komuniti orang kelainan upaya (OKU) terhadap program rintis itu - yang diwujudkan untuk penerima bantuan - yang disifatkan sebagai menyusahkan mereka.

Mengulas perkara itu, Rina berkata kementeriannya amat mengambil berat golongan OKU dan JKMPay adalah untuk membantu mereka menguruskan belanja dan menangani masalah salah guna bantuan.

"Kita dapat aduan yang (ada) bantuan disalahgunakan. Sebagai contoh, ada bantuan yang digunakan untuk beli rokok.

"Ada juga yang digunakan ahli keluarga untuk membeli (barangan) yang tidak diperlukan mereka (golongan kelainan upaya).

"Apabila kita buat JKMPay ini, kita antaranya nak bantu mereka kawal perbelanjaan, sekurang-kurangnya untuk beli barang keperluan, makanan, ubat, lampin, ubat-ubatan...kecuali arak dan rokok. Itu memang kita tak benarkan," katanya ketika sidang media di Kelana Jaya, hari ini.

Rakaman sidang media itu dikongsikan di Facebook.

Selasa lalu, beberapa kumpulan hak OKU menghantar memorandum kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk membantah JKMPay.

Menerusi program itu, bantuan wang kepada penerima dipecahkan kepada dua pembayaran: separuh dimasukkan ke akaun Bank Islam dan separuh lagi pada kad JKMPay.

Kad tersebut hanya boleh digunakan di kedai-kedai terpilih yang berdaftar dengan Bank Islam.

Sesetengah pihak antaranya berkata sistem itu membebankan OKU kerana mereka hanya boleh membeli keperluan di kedai tertentu, selain kecairan kewangan mereka juga berkurang.

Rina menegaskan bahawa JKMPay adalah program rintis dan hanya penerima bantuan sejak Februari tahun lalu yang terlibat.

Katanya lagi, program itu juga hanya dijalankan di kawasan tertentu, bukannya di seluruh negara.

Namun dia memberi jaminan program itu akan sentiasa dinilai agar sebarang kelemahan dapat diperbaiki.

‘Kami bukan budak’

Mengulas kenyataan Rina, Presiden Independent Living and Training Centre (ILTC) Francis Siva menggesa menteri itu memberikan dakta bagi menyokong dakwaannya bahawa ada OKU yang menyalahgunakan bantuan.

"Tunjukkan statistik kepada kami, berapa ramai di Malaysia yang salah guna bantuan.

"Dengan memanggil OKU sebagai perokok dan minum arak...apakah imej yang ingin dia wujudkan terhadap OKU di Malaysia?" soalnya.

Francis juga menyangkal kenyataan Rina bahawa program JKMPay dapat membantu OKU dalam pengurusan perbelanjaan.

"Kami bukan budak. Jangan layan kami seperti budak...Kami orang dewasa, kami tahu macam mana nak uruskan bantuan, kita telah lakukannya selama 30-40 tahun," katanya lagi, menyifatkan kenyataan itu sebagai membuli dan menghina golongan OKU.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen