malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tidak perlu berpatah arang berkerat rotan, kata Annuar Musa
Diterbitkan:  Jan 27, 2022 1:17 PM
Dikemaskini: 5:24 AM
ADS

Kerajaan Persekutuan akan terus mendukung semangat muafakat dan kerjasama dalam kalangan parti gabungan yang membentuk kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Malah, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa berkata dasar kerjasama rentas sempadan kepartian termasuk dengan pembangkang akan terus dilaksana khasnya bagi perkara berkaitan kepentingan rakyat.

Pemipin Umno itu berkata pendekatan itu tidak menghalang parti-parti gabungan bersaing secara demokratik di peringkat negeri dengan terus memberi peluang kepada rakyat membuat pilihan.

“Hak dan kebebasan setiap parti gabungan terus dihormati. Inilah 'orde baru' politik masa kini yang lebih matang, lebih luas dan lebih terbuka.

“Tidak perlu berpatah arang berkerat rotan,” katanya dalam catatan di akaun Facebooknya.

Perpecahan parti-parti “Keluarga Malaysia” pimpinan Ismail Sabri semakin terserlah sejak pengumuman pembubaran DUN Johor, baru-baru ini yang membuka laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.

Bersatu dan PAS dikatakan tidak dirujuk dalam keputusan itu, walaupun mereka masih berkuasa di Johor.

Bersatu adalah parti utama dalam gabungan Peringkatan Nasional (PN) yang merangkumi PAS, Gerakan, Star dan SAPP sebagai rakan kongsinya manakala Umno pula adalah tunjang BN dengan MCA, MIC dan PBRS sebagai rakan kongsi. GPS adalah rakannya di Sarawak manakala PBS pula merupakan sekutunya di Sabah.

Semasa PRN Melaka dan Sarawak, masing-masih mengambil hala sendiri dan melawan pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) yang diterajui oleh PKR, DAP dan Amanah).

Semalam, seorang ulama kanan PAS menyifatkan Umno kini kelihatan sangat ghairah untuk kembali berkuasa secara bersendirian di sebalik hubungan yang dijalin mereka dalam Muafakat Nasional dulu.

Anggota Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Mohktar Senik, berkata keghairahan itu semakin memuncak selepas Umno berjaya menukar perdana menteri - daripada Muhyiddin Yassin kepada Ismail Sabri - dan kemenangan besar mereka dalam pilihan raya negeri (PRN) di Melaka pada November tahun lalu.

Susulan, kenyataan itu beberpa pemimpin akar umbi Umno tampil menyerang balas.

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan, berkata partinya tidak boleh dipersalahkan jika ruang kerjasama di antara parti itu dengan PAS semakin sempit dengan adanya serangan yang dihalakan kepada mereka.

Mengulas lanjut perang dingin di antara Umno dan PAS, Annuar menerusi catatan di akaun Twitter menggesa parti politik Melayu, bumiputera dan Islam terlebih dahulu berusaha memperkukuh muafakat dan kerjasama.

“(Ini) agar kita mampu terus memimpin,selari dengan apa yang di tunjukkan dalam sejarah perjuangan Islam.

“Malah muafakat dengan pihak lain disusuli setelah kita berpadu,” ciapnya di Twitter.

 

Lihat Komen