malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Spekulasi PRN: MB dijangka mengadap Sultan Johor minggu depan
ADS

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad dijangka menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar minggu depan bagi mendapatkan perkenan baginda untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Sumber Umno Johor berkata DUN dijangka dibubarkan lewat minggu depan dengan pilihan raya negeri diadakan sama ada pada pertengahan atau akhir Februari.

"Persiapan membubarkan DUN Johor bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) sedang giat dijalankan dengan Menteri Besar yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Johor dijangka menghadap Sultan Ibrahim, minggu depan.

"Selepas Sultan Johor memberikan perkenan baginda, surat rasmi akan segera dihantar kepada Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat, bagi membolehkan kenyataan rasmi pembubaran DUN dikeluarkan.

"Dijangkakan DUN Johor akan dibubarkan penghujung minggu hadapan," katanya, lapor Berita Harian semalam.

Sumber Umno itu juga berkata persediaan menghadapi PRN sudah dilakukan akar umbi parti sejak tahun lalu lagi.

"PRN Johor dijangka diadakan pertengahan Februari selepas Tahun Baru Cina.

"Ia bagi mengelak PRN Johor bertembung dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Perhimpunan Agung Umno, yang akan berlangsung pada Mac nanti," katanya lagi.

Hasni dilaporkan akan mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bersama Umno Johor hari ini.

Spekulasi mengatakan Hasni akan membincangkan pilihan raya negeri.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin (gambar, bawah) mengesahkan Umno Johor akan bermesyuarat hari ini.

Bagaimanapun, dia tidak mendedahkan lebih lanjut mengenai agenda mesyuarat khas itu yang akan dihadiri ketua bahagian di ibu pejabat parti negeri.

"Agenda mesyuarat biasanya ada di meja, jadi (saya) tidak tahu," katanya dalam mesej teks ringkas.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan pilihan raya negeri diadakan sama ada pada pertengahan atau akhir bulan depan, Khaled berkata mereka hanya akan mengetahui selepas mesyuarat khas hari ini.

Khabar angin mengenai pilihan raya negeri yang akan datang terus meningkat selepas Adun Kempas, Allahyarkam Osman Sapian mennggal dunia baru-baru ini yang menyebabkan kerajaan pimpinan BN memperoleh majoriti tipis satu kerusi di DUN Johor.

Pada masa ini, BN mempunyai 28 kerusi dalam DUN terdiri daripada Umno (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu), manakala Pakatan Harapan mempunyai 27 kerusi dengan DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).

Pada 16 Jan, Khaled berkata pilihan raya negeri dan pilihan raya umum perlu diadakan segera kerana kerajaan sedia ada sering "diancam" oleh pembangkang dan rakyat memerlukan BN yang dominan untuk kestabilan dan keamanan.

Jika PRN Johor diadakan, ia menjadi pilihan raya keempat semasa pandemik Covid-19 dan selepas pilihan raya umum 2018.

Secara tradisinya, pilihan raya negeri diadakan serentak dengan pilihan raya parlimen, kecuali dalam kes Sarawak.

Pun begitu, BN mendapati bahawa mengadakan pilihan raya negeri sekarang boleh menjadi kelebihan kepada mereka. Parti itu kembali berkuasa berikutan pilihan raya Sabah pada 2020 dan membuat kebangkitan besar semasa pilihan raya Melaka tahun lepas.

Lihat Komen