malaysiakini logo
story-image
ADS

WAWANCARA | Empat bulan selepas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipecat daripada Bersatu kerana kesetiaannya kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, dia enggan menyertai Pejuang dan sebaliknya mengumumkan sebuah parti yang dipelopori golongan muda.

Menghimpunkan barisan profesional muda, aktivis, pengasas syarikat permulaan (start-up), pendakwah dan ahli akademik, dia menubuhkan sebuah platform berbilang kaum, yang akhirnya digelar sebagai Ikatan Demokratik Malaysian (Muda).

Bertentangan dengan kepercayaan popular dan meskipun memiliki profil tinggi, penubuhan Muda bukanlah merupakan usaha seorang individu.

Menurut Setiausaha Agung parti itu, Amira Aisya Abdul Aziz,  dia menghantar mesej kepada Syed Saddiq sehari selepas Gerakan Sheraton berlaku untuk memintanya menubuhkan parti sendiri.

Kiriman pesanan teks itu berbunyi: “Bentuk parti baru orang muda dan bijak pandai. Saya akan bersama awak. Semoga Allah merahmati.”

Ini membawa kepada perbincangan antara golongan muda daripada pelbagai latar belakang yang membawa kepada kata sepakat bahawa inilah masa yang sesuai untuk sebuah parti politik pimpinan belia di Malaysia.

Amira begitu teruja sehingga dia berhenti kerja di Kementerian Pendidikan untuk mendedikasikan perjuangan menegakkan keadilan.

Gadis berusia 26 tahun itu tidak menjalani kehidupan yang mudah semasa membesar. Dia dibesarkan oleh ibu tunggal di kawasan setinggan bersama empat adik beradik dan neneknya.

“Saya membesar di kawasan setinggan, saya melihat bagaimana sistem negara yang tidak adil merentasi semua sektor menyebabkan ketidakadilan sosio-ekonomi.

“Saya telah melihat seorang demi seorang rakan zaman kanak-kanak saya terjerumus ke lembah penagihan dadah, ada yang berhenti sekolah pada usia yang sangat muda, dan ramai yang tidak berjaya keluar daripada lingkaran kemiskinan.

“Saya tahu bahawa saya mahu terlibat dalam proses penggubalan dasar negara dan dapat mengubah sistem yang sangat berat sebelah terhadap golongan elit.

"Saya faham bahawa setiap orang memainkan peranan yang berbeza untuk mencipta perubahan tetapi perubahan sebenar yang memberi impak hanya boleh dilakukan di parlimen.

“Saya melakukan ini (terjun ke bidang politik) untuk rakyat Malaysia yang telah menjadi mangsa sistem yang memihak kepada golongan elit dan tidak mempunyai sedikit simpati dan empati kepada golongan miskin. 

"Saya melakukan ini untuk mewujudkan Malaysia di mana tiada siapa yang akan merasa ditindas oleh negara sendiri - tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya semasa wawancara dengan Malaysiakini.

Langkah Sheraton adalah pencetus kepada penubuhan parti politik yang diterajui golongan muda itu Malaysia, kata naib presiden Muda Dr Thanussha Francis Xavier.

Doktor perubatan berusia 31 tahun yang berasal dari Taiping, Perak itu berasa kecewa setelah mandat rakyat dikhianati dan kerajaan dahulu ditumbangkan akibat  tindakan individu yang mementingkan diri sendiri.

Walaupun Syed Saddiq menerajui Muda, ia adalah usaha kolektif oleh 11 individu lain yang bersemangat waja-- selain Amira dan Thanussha -- yang membawa Muda ke tahap sekarang.

Mereka ialah Afiqah Zulfili, Amir Hariri Abdul Hadi, Dr Mathen Nair, Teo Lee Ken, Lim Wei Jiet dan Luqman Long, Mutalib Uthman, Mohd Fakhruradzi Tajuddin, Shahrizal Denci, Siti Rahayu Baharin dan Tarmizi Anuwar.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini, Thanussha, Lim, Amira, Amir dan Shahrizal bercakap mengenai perjalanan mereka ke kancah politik dan bersama-sama dalam parti politik yang baru ditubuhkan:

Cerita kepada kami lebih lanjut mengenai diri anda dan penglibatan dalam Muda:

Shahrizal : Nama saya Shahrizal Denci. Saya berumur 40 tahun, dilahirkan dan dibesarkan di Ranau, Sabah. Saya berkelulusan dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dalam Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer.

Selepas tamat universiti, saya bekerja selama tiga tahun di sebuah syarikat semikonduktor Jerman yang berpangkalan di Kulim Hi-Tech, Kedah. Saya kemudian pulang ke kampung halaman pada tahun 2014 untuk mengusahakan perniagaan ladang kecil-kecilan. Setakat hari ini, kami adalah pembekal sayur-sayuran untuk kebanyakan pasar raya besar di Sabah.

Amir : Saya dibesarkan di Balakong, Selangor. Saya sedang mengikuti pengajian Sarjana Sains dalam Politik Asia di SOAS University di London. Sebelum ini saya belajar di UiTM dalam bidang pengurusan perniagaan.

Saya bermula sebagai aktivis mahasiswa. Kemudian dilantik sebagai Penyelaras Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH), sebelum sertai Suara Rakyat Malaysia (Suaram) sebagai penyelaras. Bersama bekas aktivis mahasiswa dan aktivis anak muda, kami tubuhkan Liga Rakyat Demokratik pada 2015 dan saya dilantik sebagai setiausaha agung.

Walaupun bekerja rapat dengan parti politik dan orang politik, saya tak pernah terfikir untuk sertai politik, hinggalah Langkah Sheraton berlaku. Ketika itu saya sedar bahawa keadaan tak akan berubah tanpa kita berbuat sesuatu.

Lim: Saya dilahirkan di Muar, Johor — kebetulan di kampung halaman Syed Saddiq — dan genap berumur 31 tahun pada tahun ini.

Saya belajar undang-undang di Universiti Malaya dan telah berkhidmat sebagai peguam sejak lima, enam tahun yang lalu.

Walaupun saya seorang yang sangat berminat dengan perkembangan politik, saya tidak pernah membayangkan saya akan terlibat secara peribadi dalam politik.

Saya tidak mempunyai ahli keluarga yang terlibat secara langsung dalam parti politik dan bukan berasal dari latar belakang yang sangat mewah dan kaya. Jadi, ia hanya selepas Langkah Sheraton pada tahun 2020 di mana ia adalah titik tolak dalam hidup saya.

Saya merasakan ada keperluan untuk melakukan sesuatu untuk bangkit kerana jika anak muda yang masa depannya paling terancam tidak bangkit, kita akan binasa.

Saya mengenali Syed Saddiq sebelum itu kerana dia seorang pendebat universiti dan saya juga seorang pendebat di universiti. Idea parti politik baru telah dibincangkan, dipersetujui, dan ia diterima pakai. Oleh itu, saya entah bagaimana terlibat di dalamnya.

Apakah jawatan parti anda, dan kawasan manakah anda bekerja secara khusus?

Thanussha: Sebagai salah seorang naib presiden, tugas saya adalah untuk membangunkan Muda sebagai parti nasional.

Shahrizal: Sebagai salah seorang pengasas bersama, saya berkhidmat sebagai naib presiden dalam jawatankuasa eksekutif pusat, dan merupakan pengerusi Muda Sabah.

Sepanjang tahun lalu, saya telah bekerja di beberapa kawasan di Sabah untuk menerangkan kepada penduduk tempatan mengenai Muda.

Amira: Saya telah diamanahkan sebagai setiausaha agung selepas Amir — yang memegang jawatan itu — menyambung pelajaran di United Kingdom. Sebagai setiausaha agung, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengawasi kelancaran keseluruhan parti.

Terutamanya sebagai parti baru dengan hampir majoriti pendatang baru dalam politik, amat penting bagi setiausaha agung untuk turun padang dan bekerjasama dengan kepimpinan negeri.

Apatah lagi rumah saya terletak di kawasan parlimen Tebrau. Saya ingin menyumbang sebanyak mungkin kepada kampung halaman saya dan telah melakukan beberapa aktiviti bersama di Tebrau.

Tetapi bagi saya, adalah yang paling penting untuk melihat cara terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat Malaysia tidak kira dari mana mereka berasal.

Amir: Sejak September 2021 saya telah terbang ke UK untuk menyambung pengajian dalam MSc Politics of Asia di SOAS University of London dan meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung Muda, dan dalam fasa awal untuk menubuhkan Muda United Kingdom.

Sebelum Muda diluluskan pun ada cabaran luar biasa untuk mendaftarkan parti, bagaimana?

Amira: Saya tahu bahawa mendaftar parti tidak mudah tetapi saya tidak pernah terfikir bahawa ia akan menjadi sesukar itu. Kami terpaksa gerakkan parti kami tanpa sumber dan hanya atas kehendak ahli kami untuk mengeluarkan wang mereka sendiri dan mengorbankan masa mereka untuk mempertahankan parti.

Tetapi perkara utama dalam semua ini ialah kita tahu bahawa kerajaan takut dengan apa yang kita bawa.

Kami telah dilayan seperti penjenayah.

Kami disoal siasat oleh polis berkali-kali hanya kerana mengamalkan hak kami untuk bercakap menentang penindasan, terpaksa berulang-alik ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dan mahkamah hanya untuk memperjuangkan hak demokrasi kami untuk mengambil bahagian secara aktif dalam politik.

Mereka (kerajaan) fikir mereka boleh melemahkan kami tetapi mereka silap. Segala yang mereka lakukan hanya menguatkan semangat kami untuk berjuang sehingga kami mampu melakukan perubahan yang ketara dan positif kepada landskap politik Malaysia.

Lim: Jika anda seorang peguam, dan anda tahu bahawa ia adalah proses yang agak mudah untuk mendaftarkan parti. Tetapi apabila pihak berkuasa, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, meletakkan begitu banyak halangan untuk anda, ia sangat mengecewakan.

Ia sangat mengecewakan, kerana kami menghabiskan banyak masa dan sumber untuk mencapai sesuatu yang begitu mudah seperti mendaftarkan parti sedangkan kami boleh menumpukan semua tenaga itu untuk menyampaikan mesej atau merangka dasar yang lebih baik atau membantu orang ramai di lapangan, dan sebagainya.

Amir: Masa yang sukar. Kita bukan sahaja tak didaftarkan, malah kita menubuhkan parti yang mana majoriti, bukan sahaja penyokong malah pimpinan, baru dalam politik. Tak ada wang, tak ada pejabat, dan rata-rata orang yang berada dalam luang lingkup politik sangat skeptikal. 

Kita juga menubuhkan Muda dalam keadaan pandemik, tak dapat berjumpa dengan pimpinan negeri dan parlimen bagi menyusun parti diperingkat akar umbi. Majoriti gerak kerja melalui platform online seperti Zoom.

Thanussha: Ia juga amat sukar untuk merancang masa depan dari segi penjajaran politik dan rundingan kerusi kerana kami tidak mempunyai bendera sendiri. Tujuan di sebalik penangguhan adalah jelas, untuk menghalang pengembangan kami.

Bagaimanapun, kami memiliki kepercayaan terhadap sistem kehakiman dan penyokong kami dan dapat bertahan.

Apakah struktur parti ini?

Lim: Di bawah Perlembagaan kami, kita ada presiden - iaitu Syed Saddiq. Kami mempunyai lima Naib Presiden. Saya salah seorang daripada naib presiden. Kami mempunyai seorang setiausaha agung, seorang bendahari, dan ahli jawatankuasa pusat.

Jadi struktur kami adalah secara formal dan struktur ini tidak jauh berbeza dengan parti-parti lain di luar sana - kecuali saya fikir kami lebih desentralisasi berbanding parti-parti lain.

Kami mempunyai barisan kepmpinan negeri (dan) parlimen yang bermotivasi, proaktif dalam mengembangkan strategi mereka sendiri. Sesetengahnya telah menghasilkan buletin sendiri, manakala yang lain memberikan bantuan banjir dari cawangan mereka sendiri.

Jadi sudah pasti ada kelebihan untuk menjadi berpusat tetapi saya rasa itu juga salah satu ciri yang cerdas dan muda kerana kita agak mendatar dari segi fungsi, dalam erti kata kita memberi banyak pemerkasaan dan kepercayaan kepada pemimpin masyarakat.

Kepimpinan atasan tidak melakukan segala-galanya. Kami memperkasakan orang di bawah untuk buat pilihan mereka sendiri, dan itu telah terbukti menjadi strategi yang sangat baik. Saya berpendapat pengaruh kami di lapangan dan keupayaan kami untuk menjangkau orang ramai adalah bukti kepercayaan yang kami berikan kepada golongan muda.

Saya fikir struktur mendatar seperti ini berfungsi dengan baik apabila parti ini baru sahaja bermula. Tidak diragukan saya mengakui itu. Orang-orang yang bertenaga dan suka kepada idea dan sebagainya. Tetapi saya fikir apabila parti ini berkembang, jelas sekali, perlu ada beberapa jenis mekanisme disiplin, sebagai contoh, atau beberapa jenis struktur untuk memastikan pelaksanaannya dilakukan dengan baik.

Tetapi itu tidak bermakna anda perlu mengorbankan pemerkasaan pemimpin peringkat negeri, pemimpin peringkat parlimen untuk membuat keputusan mereka sendiri dan mempunyai sedikit fleksibiliti dalam cara mereka mendekati sesuatu.

Jadi mudah-mudahan kami tidak akan mengubahnya. Tetapi apabila parti ini berkembang, pasti akan ada cabaran dalam menguruskan sumber manusia, seperti mana-mana organisasi.

Amira: Satu-satunya orang dalam kepimpinan kami yang berpengalaman berkhidmat sebagai wakil rakyat ialah Syed Saddiq. Malah tiga yang lain tidak pernah terlibat dalam politik secara aktif.

Kami terdiri daripada pemimpin pelbagai latar belakang yang tidak pernah berpengalaman dalam politik sebelum ini tetapi kini terjun ke dalamnya kerana mereka percaya kepada Muda dan ideologi yang dikemukakan Muda.

Adakah anda secara peribadi fikir anda mungkin bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang?

Amir: Ia bergantung kepada keputusan pemimpin parti. Jika diminta, saya akan melakukannya. Jika tidak, saya akan membantu dari mana-mana aspek yang diperlukan.

Thanussha: Pengasas bersama Muda bukan mengenai perebutan kuasa. Kami semua yakin dengan visi yang lebih baik untuk Malaysia dan dengan itu bertahan selama lebih daripada setahun dan berjuang untuk pendaftaran kami. Jika diberi peluang, ya saya akan bertanding.

Shahrizal: Secara peribadi saya sangat ingin melihat wajah segar dan darah muda di parlimen. Sama ada saya akan bertanding dalam PRU15 bukan bergantung kepada saya — ia adalah persoalan untuk dijawab oleh jawatankuasa eksekutif pusat.

Apakah harapan anda untuk masa depan - berkenaan negara dan Parti Muda?

Amira: Saya berharap negara ini akan bebas daripada rasuah yang selama ini menjerat negara kita. Saya berharap untuk sebuah negara yang mempunyai pendidikan berkualiti dan boleh diakses untuk semua kerana pendidikan adalah tonggak negara. Saya berharap untuk sebuah negara dengan ekonomi yang berkembang pesat dan keadilan sosio-ekonomi.

Saya berharap untuk sebuah negara di mana tiada kanak-kanak akan merasa bahawa mereka tidak tergolong dalam negara mereka sendiri. Di mana tiada siapa yang akan merasakan mereka adalah warga kelas kedua.

Saya berharap satu hari anak bukan Melayu atau wanita boleh mengatakan bahawa mereka bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia tanpa ditertawakan.

Saya berharap Parti Muda akan sentiasa menjadi parti yang akan memperjuangkan cita-cita ini. Mereka kata idealisme melumpuhkan - tetapi saya tidak setuju. Kita dibentuk melalui idealisme dan saya harap kita tidak akan kehilangannya.

Amir: Untuk kita benar-benar membina negara untuk semua - yang adil dan saksama, yang menghormati hak asasi manusia, yang bukan sahaja menjadikan yang kaya lebih kaya tetapi menjaga kebajikan untuk semua.

Bagi Muda pula, agar ia kekal di landasan perjuangan, dan tidak terjerumus ke dalam perangkap politik lama.

Lim: Saya amat berharap bahawa di kemudian hari, Muda akan membentuk jumlah yang besar di parlimen mungkin menjadi sebahagian daripada kerajaan, supaya dasar progresif dapat dilaksanakan. Saya mahukan pendekatan berorientasikan belia dan berorientasikan teknologi yang sangat progresif - pendekatan yang menyedari betapa mendesaknya kita.

Negara-negara seperti Vietnam dan Thailand dan Indonesia sudah mengatasi kita ketika kita sedang bercakap ini. Tiada rasa untuk segera cuba kembalikan Malaysia kepada kegemilangan dahulu atau untuk terus maju.

Kita berada dalam keadaan terperangkap pada masa lalu dengan seorang perdana menteri yang nampaknya tidak berminat dengan tugas itu. Rakyat Malaysia berhak lebih daripada ini.

Rakyat Malaysia berhak menerima perubahan sekarang - bukan lima hingga 10 tahun lagi. Saya benar-benar berharap pada masa itu, Muda sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan, menggerakkan dan menerajui semua perubahan ini yang sangat diperlukan dalam semua aspek tadbir urus Malaysia.


Ini adalah bahagian 1 daripada tiga siri mengenai pemimpin Muda. Bahagian 2 akan diterbitkan esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen