malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Bila penyu terancam, stok ikan terjejas ledakan ubur-ubur
Diterbitkan:  Jan 15, 2022 3:18 AM
Dikemaskini: 3:18 AM

Kerajaan disaran menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk memperkasakan usaha konservasi penyu secara lebih serius, demi menyelamatkan kemandirian haiwan terancam itu.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu Dr Mohd Uzair Rusli berkata kerajaan juga perlu menyediakan peruntukan dan tenaga pakar khusus dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan komuniti nelayan tempatan untuk menyokong usaha konservasi tersebut.

Beliau berkata sejak kebelakangan ini, kes kematian penyu semakin meningkat dan ia memberi 'signal' bahawa sudah tiba masanya untuk kerajaan lebih serius, dalam mencari jawapan sebenar yang menjadi punca kematian ini.

“Kita tidak boleh sekadar membuat kesimpulan mudah sahaja dengan pemeriksaan ringkas luaran penyu. Setiap kematian penyu perlu dibuat bedah siasat oleh pakar autopsi untuk melihat punca kematian sebenar secara saintifik.

“Selama ini hanya dua punca kematian yang kerap dilaporkan iaitu tertelan plastik dan lemas kerana terperangkap dalam pukat nelayan. Dengan perkembangan sains sekarang, kita sebenarnya berupaya untuk mengetahui punca sebenar kematian dan menganggarkan di manakah kematian itu berlaku melalui permodelan lautan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, dua penyu Agar ditemukan mati terdampar di Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu dan Pantai Seberang Takir di Kuala Nerus, menjadikan jumlah keseluruhan kematian penyu di Terengganu ialah lima kes sejak awal bulan ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata penubuhan jawatankuasa khas itu sangat penting kerana penyu berperanan dalam mengekalkan kesihatan dan kestabilan ekosistem lautan, malah setiap spesis penyu mempunyai peranan yang tersendiri kerana diet mereka berbeza.

“Sebagai contoh, ubur-ubur adalah sebahagian diet penyu belimbing, namun disebabkan spesies itu kian berkurangan, ledakan populasi ubur-ubur berlaku dan stok ikan kita akan terjejas kerana plankton seperti telur ikan ialah makanan utama ubur-ubur.

“Ringkasnya, usaha menyelamatkan penyu ini sama pentingnya dengan usaha kita dalam memastikan kelestarian industri perikanan negara. 

"Melihat kepada peningkatan kes kematian penyu, saya percaya ada ancaman sedang berlaku di lautan sana tetapi di luar pengetahuan kita.

"Penubuhan jawatankuasa ini perlu untuk meningkatkan keupayaan kita mengetahui punca sebenar kematian, bagi menghentikan ancaman ini segera,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen