malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes tipu sijil vaksin Covid-19 perlu perundangan khusus - Pakar

Pembongkaran kegiatan seorang pengamal perubatan di Terengganu menjual sijil vaksinasi COVID-19 palsu baru-baru ini mencetuskan polemik tentang kemampuan perundangan sedia ada untuk mengekang kegiatan itu.

Kata kebanyakan pengamal undang-undang, perbuatan individu profesional tersebut bukan sahaja mencabar peruntukan perundangan yang ada, tetapi juga melemahkan usaha kerajaan untuk mengawal penularan virus maut itu di negara ini.

Menurut seorang peguam, isu itu boleh dilihat menerusi dua aspek, iaitu tentang golongan yang enggan divaksinasi sehingga sanggup membeli sijil palsu dan penipuan membabitkan sijil vaksinasi COVID-19 adalah jenayah baharu yang belum pernah dihadapkan ke mahkamah.

“Sebelum pandemik COVID-19, tidak pernah berlaku situasi penipuan sijil vaksinasi walaupun sudah ada pelbagai program imunisasi yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.

“Justeru, tidak ada undang-undang khusus untuk menangani penipuan melibatkan vaksinasi. Buat masa ini, tindakan undang-undang boleh diambil menurut Kanun Keseksaan atau Akta 574,” kata peguam Muhammad Akram Dr Abdul Aziz kepada Bernama.

Jelas beliau, akta itu boleh digunakan untuk mendakwa kedua-dua pihak, iaitu penjual dan juga pembeli, yang jika didapati bersalah boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 10 tahun serta sebatan.

Namun menurut beliau, disebabkan kesalahan berkaitan vaksin COVID-19 adalah perkara baharu tanpa kes duluan, keberkesanan peruntukan di bawah Akta 574 dalam mencegah individu tidak beretika melakukan jenayah itu belum dapat dibuktikan.

 “Jadi dalam keadaan sekarang, saya berpandangan meskipun undang-undang sedia ada boleh digunakan, akta itu tidaklah ekstensif atau mampu mengawal selia kesalahan-kesalahan berkaitan COVID-19 secara menyeluruh, contohnya melibatkan penipuan sijil vaksinasi,” katanya.

Realitinya, polemik tentang sijil vaksinasi COVID-19 palsu sudah kedengaran sejak setahun lepas apabila arahan wajib vaksinasi kepada golongan pekerja tertentu dikeluarkan selain majoriti premis juga mensyaratkan hanya pelanggan lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke premis masing-masing.

Hal itu menyebabkan golongan antivaksin menjadi “cacing kepanasan” dan berusaha mencari jalan keluar, sekali gus membuka peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan dengan menjual sijil vaksinasi palsu.

Dalam kes di Terengganu itu, seorang doktor di sebuah klinik swasta di Marang ditahan oleh polis pada awal bulan ini selepas disyaki terbabit dalam kegiatan menjual sijil vaksinasi palsu sejak September lepas.

Mengulas kes itu, Muhammad Akram berkata suspek boleh didakwa menurut Seksyen 420 dan Seksyen 465 Kanun Keseksaan, masing-masing kerana penipuan dan pemalsuan.

“Namun elemen yang perlu dibuktikan dalam kedua-dua seksyen tersebut mungkin tidak sama dengan apa yang perlu dibuktikan sekiranya adanya satu akta spesifik ataupun peruntukan undang-undang spesifik dibuat bagi kes COVID-19.

“Jadi, saya berpandangan mungkin sudah tiba masanya undang-undang sedia ada diperbaharui, digubal atau menguatkuasakan undang-undang spesifik untuk isu melibatkan COVID-19 atau apa-apa gejala berskala pandemik,” ulas beliau.

Menurutnya, antara yang boleh dilakukan oleh pihak berwajib ialah memperluas peruntukan undang-undang sedia ada atau meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Kesalahan ini wajar diambil perhatian serius oleh kerajaan kerana kegiatan sindiket tersebut membabitkan keselamatan awam, iaitu mendedahkan masyarakat kepada bahaya wabak berkenaan,” tegasnya.

Sementara itu, pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia Prof Madya Dr Muzaffar Syah Mallow berkata semua pihak perlu memainkan peranan dalam hal penggunaan sijil vaksinasi palsu tersebut.

Ini termasuk majikan yang boleh mengambil tindakan tegas terhadap pekerja mereka yang didapati berbuat demikian, katanya.

Menurutnya, majikan yang didapati bersubahat atau menjadi dalang dalam isu sijil vaksinasi COVID-19 palsu pula boleh diambil tindakan menurut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Dalam pada itu, pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Sawal Hamid Md Ali mencadangkan agar kerajaan memperkemas maklumat vaksinasi dengan memastikan maklumat dimasukkan ke dalam pangkalan data Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Menerusi langkah itu, maklumat vaksinasi dapat dikongsikan dengan pihak lain, khususnya dalam mengesan pergerakan individu yang menggunakan sijil vaksinasi palsu di pintu sempadan negara, katanya.

“Proses verifikasi sijil vaksin juga perlu dilakukan melalui sistem pengesanan digital, bukan hanya sekadar menunjukkan paparan sijil,” katanya, menambah pangkalan data penerima vaksin juga harus dihubungkan dengan entiti penting agar maklumat vaksinasi individu dapat diakses secara terus oleh pihak berkuasa.

- Bernama

Lagi berita dari pengarang
Lihat Komen