malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mufti: Boleh guna jantung babi dalam keadaan terdesak
8

Pemindahan jantung babi yang diubah suai secara genetik ke dalam tubuh manusia dibolehkan dalam Islam jika dalam keadaan terdesak dan tiada alternatif lain.

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata, bagaimanapun, pihak yang terlibat perlu mengikhtiarkan alternatif lain seperti daripada haiwan-haiwan yang halal terlebih dahulu.

"Tapi kalau dah tak ada dia kira hukum darurah, bolehlah nak guna (jantung babi)," katanya kepada Malaysiakini.

Wan Salim berkata demikian mengulas kejayaan universiti di Maryland, AS melakukan pindahan jantung babi kepada manusia.

Seorang lelaki Amerika Syarikat yang tenat menghidap penyakit jantung baru-baru ini dilaporkan telah mendapat pemindahan jantung babi yang diubah suai secara genetik dalam pembedahan pertama seumpama itu di dunia dan sudah empat hari hidup dengan jantung haiwan itu.

Pembedahan itu, yang dilakukan oleh pasukan perubatan University of Maryland Medicine, antara yang pertama menunjukkan kebolehlaksanaan pemindahan jantung babi kepada manusia, bidang yang dimungkinkan oleh alat baru penyuntingan genetik.

Jika terbukti berjaya, saintis berharap organ babi dapat membantu mengurangkan isu kekurangan organ penderma oleh manusia.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata Islam mewajibkan membersihkan najis di luar tubuh, namun bukan yang berada di dalam badan manusia.

"Najis ini di luar tubuh kita. Kalau dalam badan kita ini memang macam-macam jenis najis ada, tapi kita masih boleh solat.

"Jadi, kalau dalam badan kita ini ada selain daripada dalam keadaan terdesak itu tadi dibenarkan dalam Islam 

"Yang keduanya, dia di dalam tubuh badan kita jadi ia tak perlu disamak atau sebagainya. Tapi, jika di luar sama macam najis-najis lain yang perlu dibersihkan.

"Oleh itu, adalah dibolehkan (pindahan jantung babi kedalam tubuh manusia) dalam keadaan terdesak dan tiada alternatif lain yang halal," jelasnya.

Untuk rekod, kira-kira 110,000 rakyat AS sedang menunggu pemindahan organ, dan lebih daripada 6,000 pesakit meninggal dunia setiap tahun sebelum mendapatnya, menurut organdonor.gov.

Jantung babi yang diubah suai secara genetik untuk Bennett disediakan oleh Revivicor, sebuah syarikat ubat regeneratif yang berpangkalan di Blacksburg, Virginia. 

Pada pagi pembedahan, pasukan pemindahan mengeluarkan jantung babi dan meletakkannya ke dalam alat khas untuk mengekalkan fungsinya sehingga pembedahan.

Babi telah lama menjadi sumber pemindahan berpotensi kerana organ haiwan berkenaan dikatakan sangat serupa dengan manusia. Jantung babi pada usia penyembelihan, misalnya, adalah kira-kira sama saiz jantung manusia dewasa.

Organ lain daripada babi yang sedang dikaji untuk pemindahan ke dalam tubuh manusia termasuk buah pinggang, hati dan paru-paru.

Usaha sebelum ini untuk memindahkan organ babi ke dalam tubuh manusia telah gagal kerana perbezaan genetik yang menyebabkan penolakan organ atau virus yang menimbulkan risiko jangkitan kepada penerima.

Lagi berita dari pengarang
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen (8)