malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda PKR berkumpul depan pejabat SPRM, tuntut Azam letak jawatan
Diterbitkan:  Jan 10, 2022 1:33 PM
Dikemaskini: Jan 11, 2022 5:29 AM
ADS

Sekumpulan anggota Pemuda PKR (AMK) berkumpul di depan ibu pejabat SPRM di Putrajaya bagi menuntut ketua pesuruhjanya Azam Baki meletakkan jawatan.

Dipimpin ketuanya Akmal Nasir, kumpulan itu turut menuntut siasatan kerajaan terhadap pemilikan saham Azam, termasuk yang dibeli adiknya Nasir menggunakan namanya.

Mereka kemudian menyerahkan memorandum mengenai perkaara itu kepada suruhanjaya berkenaan.

Bantahan hari ini bermula dengan konvoi ringkas oleh kumpulan tersebut, menaiki kira-kira 20 buah kereta di sekitar Dataran Putra, yang berdekatan dengan Pejabat Perdana Menteri menghala ke bangunan SPRM.

“Seperti mana kita maklum, semalam SPRM ada beberapa pegawai kanannya mengeluarkan kenyataan bagi mewakili mengatakan itu memorandum SPRM.

“Cuma hari ni AMK nak menyatakan kami juga akan menghantar memorandum dengan hanya 13 perkataan di belakang (Undur Azam Baki) supaya (mereka) nampak ini mewakili pandangan anak muda dan rakyat malaysia yang ingin memeprtahankan integriti,” kata Akmal kepada pemberita di hadapan Dataran Putra.

Akmal juga meluahkan rasa kecewa dengan kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan kerajaan kekal untuk tidak campur tangan terhadap isu melibatkan Azam itu.

“Semalam kita teliti Akta SPRM 5(3) bahawa kedudukan KP SPRM itu boleh dipertahankan sehinggalah dibuat keputusan ditukar oleh YDPA dengan nasihat PM.

“Jangan lupa, KP yang ada hari ini adalah lantikan PM. Bukannya lantikan parlimen, bukannya nasihat daripada parlimen. Tapi datangnya daripada nasihat PM ketika itu,” kata ahli parlimen Johor Bahru itu.

Azam dinaikkan pangkat sebagai ketua pesuruhjaya pada Mac 2020, sewaktu pentadbiran perdana menteri sebelum ini - Muhyiddin Yassin - sejurus selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Pada masa sama, Akmal turut menggesa supaya persidangan tergempar parlimen diadakan serta-merta untuk membincangkan skandal Azam Baki secepat mungkin.

Menurutnya, sidang khas parlimen akan datang - dijadualkan pada 20 Januari ini bagi membincangkan situasi banjir itu - juga dapat menjadi peluang yang baik kepada semua ahli parlimen untuk membincangkan kes melibatkan Azam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen