malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Gomez jangan peralat panel SPRM untuk agenda politik'
ADS

Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM mengingatkan pakar ekonomi, Edmund Terence Gomez supaya tidak memperalatkan panel itu untuk sebarang agenda politik berhubung dakwaan salah laku membabitkan ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Pengerusinya Borhan Dolah, menegaskan bahawa panel itu kekal profesional tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

"Beliau sepatutnya tahu bahawa panel ini bukan bertanggungjawab terhadap salah laku penjawat awam seperti ketua pengarah SPRM. Ia adalah tanggungjawab Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk ambil tindakan jika aduan lengkap dikemukakan kepada beliau.

"Beliau tak sewajarnya cuba memperalatkan panel ini untuk sebarang agenda politik atau kecederungan. Panel ini mahu ia kekal profesional tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

"Sebagai penjawat awam juga, beliau juga patut tahu peraturan ini dan bukannya viralkan perletakan jawatan beliau untuk agenda yang hanya beliau saja yang tahu,” katanya dalam kiriman teks kepada Malaysiakini hari ini.

Borhan sekali lagi mengatakan bahawa Gomez harus faham mengenai tugas panel berkenaan iaitu merunding dan mencadangkan program kesedaran anti-rasuah.

Bagaimanapun katanya, Gomez mempunyai hak untuk meletakkan jawatan tanpa mengira alasan yang diberikan.

"Pelantikan ahli panel adalah oleh perdana menteri, jadi tidak dalam bidang kuasa saya untuk menerima atau menolaknya malah tak sepatutnya ditujukan kepada saya.

"Apapun pada pandangan saya, adalah hak beliau untuk meletak jawatan atas apapun alasan beliau," katanya.

Borhan semalam dilaporkan berkata Gomez tidak membangkitkan dakwaan salah laku Azam dalam e-melnya yang dihantar kepada panel berkenaan sebelum meletakkan jawatan.

Dalam responsnya, Gomez berkata dia telah menghantar sekurang-kurangnya lima lampiran berhubung dakwaan terhadap Azam dalam e-melnya kepada Borhan dan pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM Abu Zahar Ujang.

Gomez meletakkan jawatan sebagai ahli panel PPPR pada Isnin lalu selepas mendakwa panel tersebut gagal bertindak terhadap dakwaan pemilikan kira-kira dua juta unit saham oleh Azam Baki di sebuah syarikat senarai awam.

Malaysiakini telah menghubungi Azam untuk memberikan komen.

Lihat Komen