malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Gomez: Ada 5 lampiran dakwaan salah laku Azam Baki dalam e-mel saya
Diterbitkan:  Dec 29, 2021 1:13 PM
Dikemaskini: 5:40 AM
ADS

Pakar Ekonomi Edmund Terrence Gomez menyangkal dakwaan bahawa dia tidak membangkitkan dakwaan salah laku Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam e-melnya kepada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR)sebelum meletak jawatan sebagai ahli panel berkenaan.

Menurut Gomez, dia telah menghantar sekurang-kurangnya lima lampiran berhubung dakwaan salah laku Azam dalam e-melnya kepada pengerusi panel berkenaan, Borhan Dolah.

“Borhan kata bahawa e-mel saya kepadanya tidak menamakan Azam, ketua pesuruhjaya SPRM.

"Apa yang gagal didedahkan Borhan ialah dalam e-mel itu, ada lima lampiran dengan laporan dan maklumat mengenai hubungan perniagaan langsung dan tidak langsung membabitkan Azam," kata pakar ekonomi itu dalam satu kenyataan hari ini.

Borhan Dolah

Lampiran itu juga dihantar kepada Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM Abu Zahar Ujang.

Dia juga menghantar kepada media salinan PDF dengan tarikh dan kandungan surat-menyurat e-melnya dengan Borhan dan Abu Zahar. Dia juga menghantar lampiran yang disertakan bersama e-mel tersebut.

Berdasarkan e-mel itu, Gomez melampirkan dokumen penyelidikan mengenai dakwaan terhadap Azam dalam e-mel kepada Borhan dan Abu Zahar.

Dokumen penyelidikan itu, yang disediakan oleh seorang aktivis anti-rasuah, memuatkan dakwaan serupa seperti yang dibuat oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah.

Ini termasuk antara 2015 dan 2016, semasa Azam adalah pengarah siasatan SPRM, dia menjadi pemilik kepada 1,930,000 saham (Sivarasa mendakwa jumlah itu adalah 930,000) dalam Gets Global Bhd pada 30 April 2015 dan 1,029,000 saham lagi pada Mac 2016.

Azam Baki

Lampiran itu juga mendedahkan bahawa sehingga 21 Mac 2016, Azam turut memiliki 2,156,000 waran syarikat senarai awam Excel Force MSC Bhd, manakala adik lelakinya memiliki 3,728,000 saham dalam Gets Global.

Lampiran itu juga mendakwa adik Azam turut mempunyai kepentingan perniagaan dengan seorang ahli keluarga kepada bekas pegawai tertinggi SPRM. Malaysiakini tidak menyiarkan nama pegawai berkenaan sementara mendapatkan ulasannya.

Borhan dalam kenyataannya semalam, berkata dia telah menjawab Gomez pada 12 November dengan berkata bahawa dirinya akan mempertimbangkan tentang kemungkinan mengadakan mesyuarat panel itu.

Bagaimanapun, Gomez mendakwa dia tidak menerima maklum balas.

Sehubungan itu, dia menghantar e-mel susulan kepada Borhan dan Abu Zahar pada 26 Nov dan 14 Dis untuk bertanya bila mesyuarat akan diadakan.

Dalam e-mel 26 Nov itu, dia memuatkan empat lampiran, termasuk dua artikel mengenai dakwaan terhadap Azam yang disiarkan di laman web berita, carta aliran saham yang dipegang, adik-beradik dan sekutunya, serta jadual-jadual yang berkaitan.

Menurut Gomez, semua dokumen berkenaan dilampirkan bersama e-mel tersebut.

Dalam e-mel pada 14 Dis kepada Borhan pula, Gomez memaklumkan bahawa perkara itu akan dibincangkan di Parlimen dan ini akan memalukan jika panel ditanya mengapa ia tidak meneliti perkara itu walaupun menyedarinya.

Sivarasa kemudiannya membentangkan usul tergempar mengenai perkara itu pada hari yang sama.

Malaysiakini juga telah menghubungi Borhan untuk mendapatkan ulasannya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen