malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Undang Najib beri ucaptama, taikun jarakkan diri dari WCEF
Diterbitkan:  Dec 27, 2021 4:44 PM
Dikemaskini: 11:59 PM
ADS

Taikun hartanah Lee Kim Yew menjarakkan dirinya daripada Forum Ekonomi China Sedunia 2021 (WCEF), yang mengundang kontroversi kerana mengundang bekas perdana menteri Najib Razak untuk menyampaikan ucaptama.

Dalam kenyataan hari ini, Lee berkata walaupun dia merupakan antara pengasas WCEF, dia kini tidak lagi bersama organisasi itu selepas menubuhkan Sidang Kemuncak Ekonomi China Sedunia pada 2015, yang berubah menjadi Sidang Kemuncak Ekonomi dan Teknologi China Sedunia tahun ini.

Menurut Lee, WCEF diasaskannya dengan sokongan ahli perniagaan Michael Yeo pada 2009. Institut Strategi Antarabangsa (ISI) yang diasaskan Yeo kini merupakan pihak utama dalam WCEF.

“Kali ini, mereka (WCEF) mengundang bekas perdana menteri, seorang penjenayah yang telah disabitkan dan sedang menunggu rayuan. Pastinya mereka mengundang perhatian media, dan juga berlaku salah faham terhadap saya.

“Saya perlu jelaskan pendirian, kita perlu hormat kehakiman dan tegakkan undang-undang di Malaysia. Untuk libatkannya dengan WCEF ‘baru’ ini, yang tidak dianjurkan saya, adalah satu keaiban besar.

“Saya seorang warga yang memandang serius Rukun Negara,” katanya.

Lee berkata dia merasa malu kerana ada pihak yang bertanya kepadanya jika dia mengundang Najib ke WCEF.

Dia berkata pihak penganjur telah menggunakan nama WCEF sejak dua tahun lalu dan tidak seharusnya berbuat demikian.

“Insiden ini buat saya rasa malu tapi pada masa sama saya juga berbesar hati.

“Ia menunjukkan nama WCEF, yang dimulakan oleh saya pada peringkat awal, ada pengaruh kuat, dan tenaga positifnya membuatkan ramai orang ingin turut serta. Tetapi saya membantah plagiarisme,” katanya lagi.

Selain menyampaikan ucaptama, Najib juga menjadi tetamu kehormat untuk majlis anugerah dan makan malam pada malam ini.

Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib bersalah untuk tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa dalam kes SRC International.

Pada 7 Disember lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu dan antara lain menyifatkan Najib sebagai memalukan negara.

Najib kini mengemukakan rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Jawapan balas ISI

ISI dalam kenyataan balasnya menyifatkan kenyataan Lee sebagai "salah dari segi fakta sehingga boleh dianggap fitnah" memandangkan Yeo marupakan pengerusi penganjur untuk acara WCEF sebelum ini.

Yeo juga memainkan peranan penting dalam merangka acara WCEF di bawah ISI, menurutnya lagi.

"Kami adalah penganjur yang sah untuk WCEF 2021, satu acara tahunan yang telah kami anjurkan di Malaysia sejak 2018, untuk acara WCEF kesepuluh."

Menurut ISI, WCEF 2021 dianjur secara bersama dengan Dewan Perniagaan Antarabangsa China (CCOIC) dan Persatuan Muafakat One Belt One Road (PMOBOR).

Pemilihan speaker untuk acara itu turut dibuat secara bersama oleh ketiga-tiga penganjur, katanya lagi.

"Ini tiada kaitan dengan Lee.

"Kami ingin menyatakan yang WCEF 2021 tiada kaitan dengan Sidang Kemuncak Ekonomi China Sedunia mahupun Sidang Kemuncak Ekonomi dan Teknologi China Sedunia.

"Kami juga ingin menyatakan yang WCEF 2021 tiada kaitan dengan Lee dan jika ada lagi kenyataan tidak benar dan tidak wajar daripada Lee, kami akan merujuknya kepada peguam kami untuk tindakan sewajarnya," kata ISI lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen