malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Kedudukan semasa kerajaan tak lagi sesuai untuk M'sia
ADS

ULASAN | Bencana banjir dampak perubahan iklim yang melanda negara sangat menginsafkan. Sangat perit melihat kehilangan, kemusnahan dan kesengsaraan yang dilalui oleh ramai rakyat Malaysia.

Di sebalik duka nestapa yang melanda negara dan bangsa, telah terbit pengajaran yang sangat besar. Malaysia adalah ‘more a society and less state’.

Kebaikan, bantuan serta segala daya usaha orang persendirian dan badan bukan kerajaan membuktikan bahawa cerita dan nilai Malaysia yang sebenarnya ialah setiakawan, perpaduan, toleransi dan gotong royong.

Melihat orang ramai berbondong-bondong membantu tanpa lelah, meyakinkan saya bahawa rakyat Malaysia sangat bertanggungjawab menjaga antara satu sama lain.

Kerajaan mesti mengambil pengajaran bahawa kelemahan ia mengurus krisis tidak akan mudah dilupakan oleh rakyat Malaysia.

Wakil kerajaan yang berucap di pentas antarabangsa bahawa perubahan iklim tidak mempunyai impak besar terhadap Malaysia mesti belajar menggunakan data raya sebelum membuat kenyataan sepenting itu.

Wakil Kerajaan yang keliru tentang fungsi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan bagaimana harus ia dikelolakan, wajar melakukan perkara paling terhormat dan mengundurkan diri.

Akan terus hadapi bencana

Wakil Kerajaan yang berbaju Melayu segak dengan segala keramaian demi sebuah pelancaran gerakan kesukarelawanan, telah menjerumuskan kerajaan kepada kemuncak kemarahan rakyat.

Dan yang paling malang ialah ketidakterlihatan ramai wakil kanan dan bukan kanan dalam kabinet semasa krisis amatlah dikesali.

Rupanya ramai yang telah pergi bercuti dalam keadaan negara berantakan.

Perdana menteri sejak awal nampaknya bersendirian dalam pengurusan krisis ini. Walaupun beliau segera turun kelapangan dan gigih mengumumkan pelbagai intervensi kerajaan, kemarahan rakyat terhadap prestasi anggota kabinet lain amat sukar dibendung.

Mereka tidak sedikit pun memaparkan kebingkasan setimpal 90 peratus markah pencapaian prestasi mereka.

Mewarisi kabinet yang lemah dari kerajaan Perikatan Nasional yang gagal ialah masalah yang Malaysia perlukan selesaikan. Malaysia akan terus berhadapan dengan pelbagai lagi krisis alam sekitar dan ekonomi yang tidak terjangka.

Negara memerlukan anggota kerajaan yang berprestasi dan kompeten.

Perdana menteri mempunyai peluang untuk melakukan reset (tetapan semula) ini dan beliau tahu bagaimana untuk melakukannya. Rakyat pula telah menghantar isyarat yang jelas.

Segala perkembangan mutakhir ini menunjukkan bahawa ‘kedudukan semasa kerajaan’ adalah rumus pentadbiran yang tidak sesuai lagi untuk Malaysia.


MOHAMED KHALED NORDIN ialah naib presiden Umno Malaysia dan bekas menteri besar Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen