malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Amirudin akan kembali pengerusikan MKN S'gor esok
Diterbitkan:  Dec 21, 2021 8:04 PM
Dikemaskini: 12:04 PM
ADS

Menteri Besar Amirudin Shari akan kembali semula mempengerusikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor mulai esok, menurut laporan.

Ini susulan keputusan yang dibuat semasa mesyuarat MKN peringkat persekutuan di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pagi tadi.

"Saya dihubungi MKN (persekutuan) untuk sekali lagi mempengerusikan MKN Selangor. 

"Saya akan segera bekerja dan meminta semua pihak termasuk pembangkang menyelaraskan proses pemulihan dari sekarang," kata Amirudin, seperti dipetik portal dalam talian Free Malaysia Today.

Amirudin berkata dia dihubungi bagi membincangkan pengurusan usaha pemulihan pasca banjir, kira-kira sebulan sejak dimaklumkan bahawa jawatan pengerusi MKN negeri yang disandangnya pada asalnya diserahkan kepada menteri persekutuan.

Menerusi Twitter, Syahredzan Johan, setiausaha politik kepada Lim Kit Siang, mendedahkan Amirudin pada mulanya kehilangan jawatan itu kepada ketua Umno Selangor Noh Omar, yang juga menteri pembangunan usahawan dan koperasi.

"Walaupun tidak dinyatakan, rupanya pengerusi MKN Selangor sejak November adalah Noh Omar.

"Kenapa PM tukar convention pengerusi MKN negeri macam ni," soal Syahredzan.

Memandangkan kedudukan Noh ketika itu, Syahredzan turut mempersoalkan kekurangan tindakan pantas berikutan keadaan banjir yang semakin meruncing pada Sabtu.

"Tadi juga MB Amirudin Shari menzahirkan kekangannya tidak dapat panggil mesyuarat MKN Negeri.

"Persoalan: Pertama, mungkinkah koordinasi aset keselamatan akan lebih baik jika MB yang pengerusinya?

"Kedua, mengapa Pengerusi MKN Selangor tidak panggil mesyuarat MKN," soalnya lagi.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Noh telah melawat mangsa banjir yang mencari perlindungan di balai raya Kampung Bestari Jaya, walaupun tempat itu tidak berada dalam senarai pusat perlindungan yang diwartakan.

Noh yang menyampaikan bantuan Umno Tanjung Karang berkata mereka yang memilih untuk kekal di balai raya itu berbanding berpindah ke pusat perlindungan kerajaan terdekat tidak layak menerima bantuan tunai RM1,000.

Lihat Komen