malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Mampukah simpanan KWSP memayungi hari tua kita?
ADS

Pandemik Covid-19 yang membadai negara dan dunia menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan dan mata pencarian. Menurut data Jabatan Perangkaan Negara (DOSM), kadar pengangguran negara melonjak ke paras 4.5% pada tahun 2020, iaitu paras tertinggi sejak 1993.

Justeru, apabila kerajaan memutuskan untuk membenarkan pencarum mengeluarkan sebahagian simpanan KWSP, rakyat yang terdesak dan sangat memerlukan wang tunai menghela nafas lega.

Sememangnya simpanan KWSP adalah untuk kegunaan hari tua. Namun, krisis yang tidak pernah berlaku memerlukan jalan penyelesaian yang tidak pernah diambil sebelum ini yakni pengeluaran awal simpanan hari tua kita.

Namun, di sebalik wacana ilmiah mahupun gagasan populis seputar merit atau keperluan pengeluaran KWSP, mari kita mengajukan soalan penting ini: Adakah kita masih mampu untuk mengeluarkan simpanan KWSP kita lagi?

Sebagai ikhtisar, pada tahun 2020, kerajaan telah pun membenarkan para pencarum KWSP untuk mengeluarkan simpanan masing-masing melalui program i-Lestari (Akaun 2).

Pada tahun ini, program pengeluaran simpanan KSWP diteruskan lagi melalui i-Sinar (Akaun 1) dan i-Citra (Akaun 1 dan Akaun 2). Untuk rekod, jumlah pengeluaran bagi ketiga-tiga program ini telah pun melebihi RM100 bilion.

Justeru, seusai pelaksanaan ketiga-tiga program ini, berapakah simpanan kita yang masih berbaki di KWSP?

Inilah hakikat yang begitu pahit untuk kita telan.

Menurut Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein, kaum Melayu dan Bumiputera adalah pencarum paling ramai mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 berbanding pencarum berbangsa lain.

Beliau juga dipetik sebagai berkata, nisbah pencarum Melayu mewakili hampir tiga perempat (74%) atau 4.4 juta daripada 5.9 juta pencarum yang baki simpanannya kurang dari RM10,000.

Selain itu, menurut Bank Dunia, Malaysia sedang menuju ke arah masyarakat yang semakin menua apabila lebih 7% daripada rakyat negara ini berumur 65 tahun dan ke atas. Menjelang 2056, peratusan tersebut dijangka bakal mencecah 20% daripada keseluruhan populasi.

Betapa gentingnya situasi

Bagi menggambarkan betapa gentingnya situasi ini, kita andaikan keadaan seorang pencarum yang akan bersara pada umur 55 tahun hanya mempunyai simpanan KWSP yang berjumlah RM10,000.

Selaras dengan jangka hayat rakyat Malaysia, pencarum dianggarkan akan menjalani kehidupan selama 20 tahun lagi selepas persaraan. Dengan simpanan di KWSP yang berjumlah RM10,000, pesara tersebut hanya boleh berbelanja sebanyak RM78 sebulan sehingga umurnya mencecah 75 tahun!

Walau bagaimanapun, situasi ini tidaklah begitu membimbangkan bagi pencarum yang jauh lebih muda.

Kendatipun begitu, jika fenomena ini diteliti dengan lebih mendalam, para pencarum yang berada dalam lingkungan umur bekerja terbaik (antara 25 dan 34 tahun) dan telah mengeluarkan simpanan KWSP melalui ketiga-tiga program di atas juga bakal rugi dari aspek kesan pengkompaunan.

Kesan pengkompaunan ini merujuk kepada dividen KWSP yang tidak dikeluarkan oleh pencarum dan kemudiannya ditambahkan kepada prinsipal sebagai modal pelaburan baharu bagi tahun berikutnya.

Sebagai contoh, caruman bernilai RM10,000 dan menerima dividen purata lima peratus setahun, akan berkembang sehingga RM16,470 selepas 10 tahun.

Untuk rekod, purata pulangan tahunan KWSP sejak 20 tahun lepas ialah sebanyak 5.58%. Kita andaikan seorang pencarum yang berada dalam lingkungan umur bekerja terbaik iaitu 30 tahun telah mengeluarkan simpanan KWSP sebanyak RM10,000.

Walaupun pencarum tersebut mempunyai 25 tahun untuk mengumpul kembali simpanannya, pengeluaran beliau pada hari ini telah menyebabkan kehilangan peluang untuk menikmati pulangan sekitar RM28,863!

Sebagai perbandingan, KWSP telah menetapkan kuantum simpanan asas sebanyak RM240,000 sebagai jumlah sasaran simpanan minimum kepada pencarum menjelang umur persaraan 55 tahun.

Simpanan Asas merujuk kepada jumlah simpanan minimum yang diperlukan untuk menampung keperluan asas selama 20 tahun selepas persaraan. Kuantum Simpanan Asas ini pula ditanda aras dengan kadar pencen minimum pekerja sektor awam iaitu sebanyak RM1,000 sebulan.

Menurut KWSP juga, tidak sampai sepertiga (27%) daripada pencarum yang mencapai simpanan asas sebanyak RM240,000 tersebut.

Inflasi sentiasa meningkat

Namun begitu, tepuk dada tanya selera. Dengan kadar inflasi yang hampir sentiasa meningkat dan ditambah dengan kadar gaji dan upah yang kekal genang sejak 20 tahun lepas, adakah kita mampu untuk bertahan dengan jumlah RM1,000 sebulan selepas persaraan kita?

Malahan, sekiranya kita menggunakan penanda aras upah setakat cukup hidup yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia iaitu RM2,700, Simpanan Asas yang diperlukan oleh seseorang pencarum yang sewajarnya ialah sebanyak RM648,000.

Umum mengetahui bahawa golongan B40 adalah antara yang paling terjejas dek pandemik Covid-19, walaupun telah dibantu melalui pelbagai program yang dilancarkan oleh kerajaan.

Namun, badai pandemik ini juga telah dan akan terus menekan golongan pertengahan atau M40.

Pokoknya, kita hanya akan melihat kesan daripada pengeluaran KWSP ini dalam jangka masa panjang kelak. Dan semestinya golongan B40 dan M40 akan membentuk golongan majoriti yang paling terkesan dek pandemik ini.

Selain itu, di pihak kerajaan, kita masih berpeluang untuk melaksanakan pembaharuan skim simpanan persaraan seperti yang dianjurkan oleh beberapa ahli ekonomi seperti pencen asas sejagat. Sistem ini boleh dibiayai melalui geran kerajaan, pendapatan daripada pelaburan awam, skim caruman bagi mereka yang mampu, dan tambah nilai sosial bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Manakala di peringkat pencarum, sekiranya kita masih mampu bertahan, marilah kita menahan diri daripada mengeluarkan simpanan hari tua kita.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sudah mula menampakkan kesan positif. Waima perlahan, sektor ekonomi khususnya sektor perkhidmatan yang melibatkan interaksi secara bersemuka seperti pelancongan sudah dibuka semula.

Selain itu, Bank Negara Malaysia juga mengunjurkan momentum pertumbuhan yang semakin baik menjelang 2022, disokong oleh pengembangan permintaan global, perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi sejajar dengan penyambungan semula kegiatan ekonomi dan sokongan dasar yang berterusan.

Justeru, kita sudah boleh mengorak langkah dan berikhtiar melalui jalan lain untuk meneruskan kelangsungan hidup berbanding ‘jalan mudah’ dengan hanya mengeluarkan simpanan KWSP kita.

Selain itu, masih lagi belum terlambat untuk kita belajar mengenai ilmu kewangan asas seperti instrumen simpanan dan pelaburan, konsep pulangan terkompaun dan jenis-jenis risiko yang ada. Sementelahan pula buku-buku dan program kewangan berbahasa Melayu yang semakin banyak di pasaran.

Bak kata bidalan Melayu, “Ingat sebelum kena, hemat sebelum habis.”


DR MOHD ZAIDI MD ZABRI merupakan pensyarah kanan di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di [email protected].

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen