malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rais: Guna bahasa Inggeris untuk nama tempat amalan 'menjijikkan'
Diterbitkan:  Dec 5, 2021 12:25 PM
Dikemaskini: 4:25 AM
ADS

Yang Dipertua Dewan Negara Dr Rais Yatim mengkritik pihak berkuasa berhubung penggunaan bahasa Inggeris sebagai nama tempat, berbanding bahasa Melayu.

Rais menyifatkan amalan itu sebagai "menjijikkan" dan menggesa semua pihak, termasuk pihak berkuasa tempatan, agar menghentikannya.

"Saya telah memberikan pandangan saya sejak 12 tahun lalu. Ketika itu, kita ada Ukay Heights, Ainsdale, Ampang Waterfront dan banyak lagi yang saya dapati menjijikkan.

“Perkara itu menampakkan kita seperti tergila-tergila dengan ayunan nama Inggeris seperti mana orang Tionghoa suka memakai nama Eropah seperti Michael, James atau George," katanya dalam wawancara bersama Utusan yang disiarkan hari ini.

Rais berkata demikian susulan kenyaaan Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Abdul Aziz di Parlimen sebelum ini bahawa Kuala Lumpur sudah "hilang identiti" apabila semakin banyak nama bangunan dan perumahan dalam bahasa Inggeris.

Nazri antara lain memberikan Hampshire Residences dan Bangsar South sebagai contoh. Bangsar South adalah projek pembangunan hartanah di Kampung Kerinchi.

Selain itu, Rais juga membangkitkan pusat membeli belah di sekitar Kuala Lumpur juga tidak menggunakan bahasa Melayu, termasuk Pavilion KL, Sunway Velocity dan MyTown.

Dalam pada itu, Rais mencadangkan amalan itu digantikan dengan penggunaan nama bunga, pokok, gunung-ganang dan tokoh terkemuka negara.

“Jabatan Warisan jangan tidur nyenyak dan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) perlu bangkit membantu. Kementerian Pendidikan juga harus mengajar anak-anak watan mencintai artifak dan warisan sendiri.

“Yang sudah itu, sudahlah namun harus menjadi cerminan bangkai budaya. Pada masa hadapan, kerajaan mesti berani dan tegas untuk memastikan nama-nama taman perumahan yang bakal dinamakan," katanya lagi seperti dipetik.

Lihat Komen