malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lebih 500 doktor kontrak letak jawatan, Jan ke Nov
Diterbitkan:  Nov 29, 2021 9:34 PM
Dikemaskini: 1:34 PM
ADS

PARLIMEN | Seramai 514 pegawai perubatan lantikan kontrak telah meletakkan jawatan daripada perkhidmatan kerajaan antara Jan hingga 26 Nov.

Bercakap di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali dilaporkan berkata bahawa doktor-doktor itu berhenti kerana pelbagai alasan, termasuklah untuk menyambung perkhidmatan dalam sektor swasta, atas sebab peribadi, melanjutkan pelajaran, dan juga masalah kesihatan.

"Dalam hal penentuan peletakan jawatan ini, keputusan adalah hak yang diputuskan sendiri pegawai (perubatan lantikan kontrak) atas sebab tertentu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, seperti dipetik Harian Metro.

Noor Azmi menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad yang meminta statistik pegawai perubatan siswazah yang meletakkan jawatan mengikut tahun serta puncanya.

Menurut Noor Azmi, bilangan doktor kontrak awam yang berhenti kerja pada 2017 adalah seramai 110 orang, diikuti 168 orang pada 2018, 475 orang pada 2019, dan 511 orang pada 2020.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat prihatin dengan nasib dan masa depan doktor kontrak.

"Kita wujudkan jawatankuasa khas untuk meneliti perkara berkaitan doktor muda ini.

"Menteri (Kesihatan Khairy Jamaluddin) mengambil pendekatan serius mengenai bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini dan akan meneruskan usaha supaya doktor kita dapat meneruskan tugas dengan sebaiknya," katanya.

Pegawai perubatan kontrak di negara ini telah mengadu tentang faktor keselamatan pekerjaan dan peluang buat mereka untuk melanjutkan pengajian kepakaran.

Doktor kontrak junior turut berdepan risiko kehilangan kerja selepas tamat lima tahun latihan di hospital kerajaan.

Kekecewaan itu membawa sekumpulan doktor kontrak menubuhkan gerakan yang dikenali sebagai 'Hartal Doktor Kontrak', yang berkempen untuk menghentikan “sistem dua peringkat” antara doktor pelatih tetap dan yang berkontrak di hospital kerajaan.

Doktor kontrak tidak layak mendapat biasiswa pascasiswazah tempatan untuk menjadi pakar.

Pada Julai, gerakan itu berjaya mendorong ratusan doktor kontrak di seluruh negara untuk melakukan permogokan dengan keluar dari tempat bekerja mereka.

Lihat Komen