malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Orang Bangladesh pun fasih BM' - Pemuda Bersatu desak mansuh sekolah vernakular
Diterbitkan:  Nov 29, 2021 9:02 PM
Dikemaskini: 1:02 PM
ADS

Pemuda Bersatu menegaskan sekali lagi pendiriannya supaya sekolah vernakular dimansuhkan secara berperingkat.

Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir menegaskan hal itu selepas Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven menyoal di Dewan Rakyat apakah Timbalan Menteri Perpaduan Negara Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal masih kekal dengan pendirian terdahulunya untuk memansuhkan sekolah vernakular.

Ini menyebabkan Wan Fayhsal menjawab dia hanya mahu bahasa Melayu dimantapkan sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular dan bahawa dia pada ketika itu bercakap atas kapasitinya sebagai ketua Pemuda Bersatu.

Menjawab Sim, Mohd Ashraf Mustaqim menuduh DAP, parti yang dianggotai Sim menjadi “duri dalam daging” yang menggagalkan integrasi bangsa Malaysia.

Ashraf mempersoalkan apakah Sim tidak sedar akan peratusan anak-anak bukan Melayu di sekolah vernakular yang tidak boleh bertutur bahasa kebangsaan.

“Ini merupakan suatu realiti, mereka lahir di Malaysia, mereka mendiami negara ini dan negara ini telah menjadi kampung halaman mereka, tetapi tetap gagal bertutur bahasa kebangsaan.

“Bangladesh, Pakistan, Nepal yang duduk baru beberapa bulan, ramainya lebih fasih malah masuk setahun dua tatabahasa yang bukan warga ini lebih baik tambah tanpa pelat mengalahkan mereka yang punyai kad pengenalan biru, warganegara Malaysia - sedarlah!” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Ashraf, Pemuda Bersatu sedar akan kepentingan mempelajari bahasa pengantar kedua mahupun ketiga - selain bahasa Inggeris - seperti Mandarin dan Tamil.

Pun begitu, tegasnya lagi, ia perlulah dijayakan di bawah satu bumbung, bukan di bawah sistem yang berpisah-pisah.

Katanya, bahasa Melayu tidak dimartabatkan dan sejarah Malaysia pula disongsangi menerusi sukatan pelajaran di sekolah vernakular.

“Justeru Pemuda Bersatu kekal dengan pendirian bahawa sekolah vernakular wajar dimansuhkan secara berperingkat,” katanya lagi.

Lihat Komen