malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dakwa wanita cetus provokasi, pemuda MIC pula buat laporan polis
ADS

Pemuda MIC Sungai Siput hari ini membuat laporan polis terhadap seorang wanita yang sebelum ini mendakwa menerima gangguan seksual daripada ahli parti itu.

Timbalan ketuanya M Chandra Segaran membuat laporan di Balai Polis Sungai Siput Utara, beberapa hari selepas wanita tersebut membuat laporan polis berhubung dakwaan itu.

Dalam laporan itu, Chandra Segaran mendakwa wanita itu yang merupakan setiausaha sebuah NGO sengaja membuat provokasi terhadap ahli MIC ketika kedua-dua pihak meninjau isu longkang di Taman Muhibbah Jaya di Sungai Siput, baru-baru ini.

"Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan wanita tersebut bahawa saya berkelakuan tidak sopan. Sebaliknya, dia yang mencetuskan provokasi dengan memanggil 'Orang MIC semua adalah pondan'.

"Saya meminta pihak polis agar membuat siasatan terperinci mengenai insiden tersebut," katanya dalam laporan polis itu.

Dalam laporannya, Chandra Segaran turut mendakwa wanita itu sengaja mencetuskan provokasi yang menyebabkan bermulanya pertengkaran antara pihak NGO dan ahli parti.

Semalam Ketua Polis Daerah Sungai Siput Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin mengesahkan bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat dakwaan gangguan seksual oleh ahli MIC.

Wanita tersebut mendakwa seorang ahli MIC telah mengeluarkan kata-kata tidak sopan dan membuka zip seluarnya dalam kejadian itu.

Difahamkan insiden tersebut berlaku pada 25 November lalu ketika kedua-dua pihak membuat lawatan pada masa yang sama di kawasan perumahan tersebut.

Menurut wanita itu, ahli MIC yang berkumpul di situ menghalang ahli NGO dan pegawai Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) yang turut hadir dengan menggunakan kata-kata kesat dan membuka zip seluar di depannya.

Pengerusi MIC Sungai Siput K Manimaran pula semalam mendakwa bahawa NGO tersebut sengaja campur tangan ketika parti itu cuba menyelesaikan isu longkang di situ.

MIC digesa ambil tindakan

Mengulas perkara itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy menggesa MIC untuk mengambil tindakan atas insiden yang didakwa berlaku.

"Dakwaan kelakuan tidak senonoh ahli MIC terhadap seorang wanita dari NGO di Sungai Siput hendaklah dikecam sekerasnya.

"Tiada alasan untuk perlakuan sedemikian terutama terhadap seorang aktivis wanita," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini, yang turut menggesa polis menyiasat perkara itu.

"Sama ada dakwaan itu benar atau tidak perlu ditentukan oleh polis. Saya difahamkan polis telah menyiasat kejadian itu dan telah merujuk perkara itu kepada pihak seterusnya untuk diputuskan," katanya lagi.

'Tiada toleransi terhadap gangguan seksual'

Dalam pada itu, Ketua Wanita MIC Mohana Muniandy bekata pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang gangguan dan salah laku seksual.

Tetapi pada masa sama, katanya, dakwaan tersebut perlulah dibuktikan.

Mohana Muniandy (tengah)

"Saya sendiri telah ke Sungai Siput untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini. Kami berharap polis memandang serius perkara ini, menyiasat secara menyeluruh dengan cermat dan hormat kerana ia melibatkan parti politik yang disegani.

"MIC mempunyai dasar tiada toleransi terhadap gangguan dan serangan seksual, serta sebarang hubungan fizikal yang tidak diingini, keganasan atau ancaman keganasan fizikal di kalangan wanita.

"Namun begitu, setiap dakwaan berkaitan MIC harus dipandang serius terutama sekali mengenai gangguan seksual. Tuduhan palsu hanya untuk memburukkan nama parti tidak akan diterima," katanya dalam kenyataan.

Lihat Komen