malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
RM3.66 bilion hartanah di Pulau Pinang tidak terjual
ADS

Pulau Pinang merupakan negeri kedua yang mempunyai jumlah hartanah tidak terjual tertinggi di Malaysia dengan melibatkan 4,683 unit rumah yang telah siap dibina bernilai RM3.66 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata Johor di kedudukan pertama dengan bilangan hartanah tidak terjual 6,509 unit (RM4.89 bilion) manakala Kuala Lumpur (3,863 unit bernilai RM3.1 bilion) dan Selangor (3,367 unit bernilai RM2.9 bilion) masing-masing ketiga dan keempat.

“Daripada jumlah unit rumah tidak terjual di Pulau Pinang, hanya 347 unit atau tujuh peratus merupakan rumah mampu milik berharga RM300,000 dan ke bawah,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 dan Usul Anggaran Pembangunan 2022 di persidangan Dewan Undangan Negeri pada Isnin.

Dia berkata kerajaan negeri sentiasa mengingatkan para pemaju supaya memberi keutamaan kepada projek perumahan mampu milik yang berharga RM300,000 ke bawah dan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

“Dalam keadaan ekonomi semua pihak terjejas ekoran pandemik Covid-19 ketika ini, para pemaju sepatutnya membuka mata dan mengambil peluang untuk membina lebih banyak rumah mampu milik.

“Sementelah apa gunanya mereka membina rumah berharga RM300,000 ke atas atau sehingga mencecah RM1 juta sekiranya tidak boleh dijual disebabkan pembeli tidak berkemampuan?” katanya.

Jagdeep berkata kerajaan neger turut memainkan peranan dalam menggalakkan pemaju membina rumah mampu milik dengan memperkenalkan pelbagai insentif seperti pengurangan caj-caj melibatkan pemajuan dan sebagainya.

-Bernama

Lihat Komen