malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahkamah arah Deepak, syarikat bayar kos RM40,000
ADS

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini memerintahkan ahli perniagaan Deepak Jaikishan, adiknya dan syarikat mereka membayar kos keseluruhan RM40,000 berikutan peguam mereka menarik diri daripada mewakili mereka dalam rayuan berhubung saman yang difailkan terhadap Najib Razak dan isteri serta tiga yang lain.

Panel tiga hakim diketuai Mohamad Zabidin Mohd Diah menganugerahkan kos RM10,000 kepada setiap responden memandangkan pertukaran peguam dibuat di saat-saat akhir dan ini adalah kali kedua mereka menukar peguam.

Mohamad Zabidin berkata memandangkan peguam Deepak telah menarik diri dan rayuan itu perlu ditangguhkan, kos RM10,000 kepada setiap responden adalah wajar, iaitu kepada bekas Perdana Menteri (Najib) dan Rosmah Mansor, bekas Pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim, adik Najib iaitu Ahmad Johari Abdul Razak dan bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Shukry Mohd Salleh.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Abu Bakar Jais dan Che Mohd Ruzima Ghazali.

Terdahulu, Mohamad Zabidin membenarkan permohonan peguam Magita Hari Mogan untuk menarik diri daripada mewakili Deepak, adiknya J Rajesh dan syarikat mereka Radiant Splendour Sdn Bhd dalam empat kes rayuan tersebut.

Dia memberitahu mahkamah perintah pelepasan itu difailkan pada hari Jumaat (26 Nov) selepas gagal mendapat arahan daripada anak guamnya.

Terdahulu, peguam yang mewakili Najib dan Rosmah, David Matthews serta peguam Dhinesh Bhaskaran yang mewakili Ahmad Johari, peguam Porres Royan mewakili Abdul Azeez dan peguam Farah Shuhadah Razali bagi pihak Shukry meminta kos RM10,000 selepas Magita memaklumkan kepada mahkamah mengenai pemfailan perintah pelepasan itu.

Mohamad Zabidin kemudian mengarahkan kes itu dihantar untuk pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan hari ini, yang kemudiannya menetapkan 14 Dis untuk pengurusan kes lain.

Perayu -- Deepak, Rajesh dan Radiant Splendour -- merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 14 Jan tahun lepas yang membatalkan tuntutan mereka terhadap responden.

Dalam saman itu, perayu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, mendakwa akibat konspirasi, telah menyebabkan dua beradik itu dan syarikat mereka mengalami kerugian.

Mereka juga mendakwa semua responden telah melakukan konspirasi, penipuan, penyelewengan dan penyalahgunaan proses.

-Bernama

Lihat Komen