malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
VTL Udara bermula di KLIA bagi perjalanan Malaysia-Singapura
Diterbitkan:  Nov 29, 2021 3:12 PM
Dikemaskini: 7:12 AM
ADS

Pintu masuk antarabangsa utama Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melaksanakan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) Malaysia-Singapura melalui udara (VTL Udara) hari ini, membolehkan perjalanan tanpa kuarantin bagi individu yang telah lengkap divaksin.

Penerbangan VTL pertama dari Singapura yang membawa 240 penumpang menaiki pesawat Singapore Airlines SQ108 mendarat di KLIA pada 9.25 pagi dan disambut dengan pancuran air semasa ketibaan.

Pengendali lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) akan menerima enam penerbangan VTL secara keseluruhan hari ini, membawa lebih 1,300 penumpang dari Singapura.

Enam penerbangan itu dikendalikan Singapore Airlines, Malaysia Airlines, AirAsia, Malindo Air, Jetstar Asia, dan Scoot, menurut MAHB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena majlis sambutan khas bagi penerbangan VTL yang julung kali dilaksanakan hari ini.

Pada 8 Nov, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan Malaysia dan Singapura akan melancarkan VTL antara Lapangan Terbang Changi dan KLIA pada 29 Nov (hari ini).

Sebaik tiba, penumpang penerbangan VTL telah diarah ke zon saringan khusus yang terletak di Pintu 10 (G10).

MAHB berkata penumpang VTL Udara akan diproses melalui lorong imigresen khusus dan Jabatan Imigresen Malaysia telah menyediakan 11 kaunter di terminal utama KLIA dan empat kaunter di klia2 untuk tujuan itu.

Menurut MAHB semua penumpang VTL Udara dilengkapi dengan gelang tangan biru semasa ketibaan untuk pengecaman pantas oleh komuniti lapangan terbang mengenai status bebas kuarantin mereka.

“Gelang tangan itu akan ditanggalkan selepas penumpang keluar dari lapangan terbang,” katanya.

Pengerusi MAHB Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses VTL itu berkata MAHB akan memastikan kualiti perkhidmatan kekal pada tahap tertinggi memandangkan lapangan terbang itu mula menerima ramai penumpang antarabangsa.

“Kami akan pastikan penumpang berpuas hati dengan setiap proses-proses yang dilalui dan akan perbaiki prosedur operasi standard (SOP) setiap masa,” katanya.

Ditanya sama ada kebimbangan mengenai varian Omicron COVID-19 akan menjejaskan pelaksanaan VTL Udara, Zambry berkata MAHB akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa berkaitan untuk mengekang varian itu daripada merebak ke Malaysia.

“Varian itu sudah pasti menimbulkan kebimbangan kami, kami perlu melihat perkara ini (varian Omicron) dengan teliti,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 26 Nov (Jumaat) mengisytiharkan strain baharu COVID-19 sebagai varian membimbangkan (VOC) dinamakan Omicron.

Beberapa negara di seluruh dunia kini telah menyekat penerbangan dari negara Afrika termasuk dari Afrika Selatan, Namibia, Botswana, Zimbabwe, Mozambique, Lesotho dan Eswatini kerana bimbang ancaman varian baharu itu.

- Bernama

Lihat Komen