malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Azalina: Kluster Covid-19 patut cetus usaha tangani kesesakan penjara
ADS

Penularan wabak Covid-19 di penjara, yang telah menjangkiti 51,123 banduan, kakitangan dan keluarga mereka, perlu menjadi pencetus untuk pembaharuan penjara dilaksanakan, kata Azalina Othman Said.

Azalina yang merupakan penasihat khas perdana menteri bagi hal ehwal undang-undang dan hak asasi manusia berkata demikian dalam ucap tama dalam Sidang Reformasi Penjara Serantau anjuran Suhakam, di Kuala Lumpur hari ini.

Dia secara khusus membangkitkan usaha untuk mengurangkan kesesakan dalam penjara, dan berkata di sebahagian penjara jumlah banduan antara 120 hingga 200 peratus melebihi had.

Sebelum ini, Parlimen dimaklumkan terdapat 69,507 banduan yang menghuni 39 institusi penjara setakat 25 Ogos lalu.

Azalina juga berkata kerajaan perlu mempertimbang peralihan daripada hukuman berbentuk penahanan kepada sekatan bukan penahanan dalam kes tertentu.

Ia termasuklah terhadap individu yang dalam perbicaraan yang ditahan kerana tidak mampu membayar ikat jamin, katanya lagi.

"Kita perlu mempertimbang untuk moratorium terhadap kemasukan baru serta pembebasan awal atau bersyarat, terutama ketika saat kritikal sementara kita pulih semula daripada impak sosioekonomi yang besar akibat Covid-19.

"Pilihan ini patut diberikan kepada kesalahan tidak melibatkan tindakan ganas dan mereka yang mengidap penyakit kritikal," katanya.

Sebelum ini, portal kesihatan CodeBlue melaporkan pusat tahanan menyumbang kepada 523 daripada 9,31 kes Covid-19 sejak 22 Februari hingga 2 April 2021.

Azalina yang juga pengerusi Kumpulan Ahli Parlimen Malaysia Untuk Reformasi Tahanan (APPGM) berkata, kerajaan perlu menggunakan kaedah berdasarkan bukti dalam perancangan program, latihan dan penambahbaikan dasar dalam strategi pengurusan penjara.

Dia antara lain berkata, pembaharuan perlu melibatkan penambahbaikan dalam sistem pengurusan data penjara serta pengukuhan institusi dan peningkatan kapasiti bagi pihak pengurusan penjara yang mematuhi garis panduan dan piawaian antarabangsa.

Malaysiakini dalam laporan khas Jun lalu membangkitkan keadaan buruk penjara di Malaysia yang sebahagian besarnya berkait rapat dengan masalah kesesakan.

Lihat Komen