malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mah campur tangan lepas papan tanda SJK(C) tiada tulisan Cina
Diterbitkan:  Nov 27, 2021 12:10 PM
Dikemaskini: Nov 28, 2021 1:12 AM
ADS

Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon campur tangan selepas beberapa sekolah rendah bantuan kerajaan beraliran Cina di Pekan, Pahang menerima papan tanda nama sekolah baru tanpa aksara Cina.

Sinchew Daily baru-baru ini melaporkan Jabatan Pendidikan Pahang membekalkan papan tanda sedemikian kepada dua sekolah - SJK(C) Yoke Hwa dan SJK(C) Kee Wha - pada awal November.

Papan tanda itu mengandungi nama sekolah SJK(C) dalam Bahasa Melayu dan tulisan Jawi, tetapi tidak dalam aksara Cina.

Lima sekolah SJK(C) di Kuantan juga dikatakan akan diberikan papan tanda oleh lembaga tersebut.

Lima sekolah yang dilaporkan itu ialah SJK(C) Puay Chai, SJK(C) Kong Min, SJK(C) Semambu, SJK(C) Chung Ching 2 dan SJK(C) Yoke Shian.

Isu berkenaan mencetuskan kebimbangan di kalangan kumpulan pendidik dan parti politik, dengan pemimpin DAP mengkritik tindakan tersebut sebagai penghinaan terhadp kepelbagaian budaya.

Sebagai maklum balas, Mah (di atas) telah mengarahkan jabatan pendidikan negeri membina papan tanda baru yang mengandungi aksara Cina dan Tamil manakala papan tanda nama sekolah sedia ada tidak perlu diturunkan.

Mah perjelas dasar

Bercakap kepada akhbar harian berbahasa Cina itu, Mah menjelaskan perkara berkenaan berpunca daripada dasar kerajaan Pahang di mana papan tanda agensi kerajaan perlu mengandungi tulisan Jawi.

Selepas itu, jabatan pendidikan negeri mula membekalkan semua sekolah awam dengan papan tanda patuh.

Kontraktor yang sama dilaporkan mengeluarkan papan tanda 'seragam' untuk semua sekolah SK, SJK(T) dan SJK(C).

Mah, yang juga timbalan presiden MCA, berkata dia telah mengarahkan supaya aksara Cina dan Tamil dimasukkan pada papan tanda ini untuk sekolah masing-masing.

“Pengarah bersetuju (dengan cadangan saya) dan juga bersetuju membenarkan kontraktor mengeluarkan papan tanda baru dengan nama Cina dan Tamil untuk sekolah Cina dan Tamil.

"Jabatan pendidikan akan memasangnya selepas papan tanda baru siap," katanya dipetik sebagai berkata.

Mah berkata jabatan itu telah mengambil "tindakan segera" mengenai perkara itu, sambil menambah bahawa papan tanda nama sekolah sedia ada boleh dikekalkan.

Menyiarkan mengenai isu berkenaan di laman Facebooknya, timbalan menteri itu mengulangi dia telah "segera" menghubungi pihak berkaitan untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Sebelum Mah campur tangan, Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Pahang (Dong Lian Hui) telah menggesa jabatan pendidikan negeri untuk menambah aksara Cina bagi nama sekolah-sekolah pada papan tanda ini.

“Kami tidak fikir ini adalah isu pendidikan yang sensitif.

“Sebagai Dong Lian Hui, sudah tentu kami berharap jabatan pendidikan memberi perhatian kepada perkara ini.

“Apa salahnya menambah nama sekolah Cina pada papan tanda sekolah rendah Cina," soal Pengerusi Dong Lian Hui Pahang, Lim Chin Chee memberitahu Sinchew.

Persatuan Dong Lian Hui Pahang membentuk Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia(Dong Zong.

DAP mahu jawapan

Susulan resolusi itu, pemimpin DAP telah mengkritik Putrajaya berhubung episod ini.

Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming memohon Mah supaya mengambil tindakan tegas terhadap jabatan pendidikan Pahang atas kesilapan itu.

Dia juga meminta jawapan daripada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang merupakan ahli parlimen bagi kawasan Pahang Bera.

Pengerusi DAP Perak itu menggesa Putrajaya menghormati identiti budaya sekolah SJK(C) dan berkata isu papan tanda itu bertentangan dengan slogan “Keluarga Malaysia” kerajaan persekutuan.

Ahli jawatankuasa Pusat DAP Wong Kah Woh pula juga menyifatkan ini sebagai tanda "tidak hormat" terhadap masyarakat Cina Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Ipoh Timur itu membandingkan isu berkenaan dengan kontroversi baru-baru ini seperti langkah kerajaan Kedah mengharamkan perjudian dengan tidak lagi memperbarui lesen kedai loteri.

“Berbilang kaum dan agama merupakan aset kepada Malaysia.

“Jika negara berhasrat untuk maju, mengekalkan keharmonian antara kumpulan etnik dan agama menjadi asasnya.

“Bagaimanapun, kerajaan hari ini telah memilih untuk memusnahkan asas pembinaan negara ini dengan mengubah negara daripada masyarakat yang pelbagai kepada masyarakat yang homogen,” kata Wong.

Dia membidas MCA berhubung isu itu, menuduh parti berasaskan Cina itu gagal mempertahankan hak dan kepentingan sekolah SJK(C).

[Baca berita asal]

Lihat Komen